Selasa, 10 Julai 2018 | 7:40pm
MENTERI Kewangan, Lim Guan Eng. - Foto NSTP
MENTERI Kewangan, Lim Guan Eng. - Foto NSTP

Kos projek LRT3 disemak semula

PUTRAJAYA: Kementerian Kewangan mengarahkan Prasarana Malaysia (PRASARANA) menyemak semula kos projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) yang bernilai RM31.45 bilion.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata kos keseluruhan projek itu disemak kerana kelemahan pengurusan projek oleh PRASARANA, yang memerlukan pengurangan kos yang drastik untuk memastikan LRT3 lebih kos efektif dan berdaya maju.

Katanya, kementerian tidak akan menyokong sebarang pembiayaan tambahan jika tiada pengurangan kos LRT3 yang drastik, pada masa sama tidak menjejaskan integriti jajaran rel, keselamatan dan kualiti perkhidmatan yang diberikan.

"Ada beberapa laporan media bahawa kos LRT3 boleh dikurangkan sebanyak RM6 bilion. Kementerian ingin menegaskan bahawa kos projek perlu dikurangkan jauh lebih daripada RM6 bilion supaya projek ini dapat diteruskan.

"Sebelum ini, PRASARANA telah memperoleh jaminan kerajaan untuk meminjam RM10 bilion untuk membiayai projek ini.

"Bagaimanapun, pada 30 Mac lalu, PRASARANA telah meminta jaminan tambahan sebanyak RM22 bilion bagi membiayai pinjaman untuk menyiapkan projek LRT3," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Guan Eng berkata, projek LRT3 adalah projek utama bagi menyelesaikan isu kesesakan lalu lintas dalam satu koridor pembangunan ekonomi dan kepadatan penduduk yang pesat.

"Jajaran LRT3 adalah kritikal kerana ia menawarkan perkhidmatan LRT yang meliputi kepadatan penduduk seramai dua juta orang di sepanjang koridor jajaran dan menampung kapasiti seramai 36,700 penumpang sejam setiap hala," katanya.

Secara umumnya, projek LRT3 dibangunkan di bawah Rancangan Pembangunan Rel Bandar oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Ia adalah sebahagian daripada Rancangan Induk Pengangkutan Awam Darat yang bertujuan untuk mewujudkan sistem pengangkutan awam yang memuaskan, cekap, bersepadu dan mampan.

Rancangan itu dijangka berupaya menaikkan taraf sosio-ekonomi di Malaysia dan meningkatkan mutu kehidupan rakyat.

Jarak keseluruhan LRT3 adalah 36 kilometer dan akan merentasi 25 stesen sepanjang laluannya.

Pembinaan LRT3 bermula pada 2016, setelah kelulusan daripada pelbagai pihak berkepentingan diperoleh. LRT3 dijangka akan siap pada tahun 2020.

Berita Harian X