Rabu, 11 Julai 2018 | 3:41pm
Presiden CUEPACS, Datuk Azih Muda. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Kerenah birokrasi perlu dikurangkan - CUEPACS

KUALA LUMPUR: Dalam proses melestarikan perkhidmatan awam, CUEPACS menggesa agar perkara yang membabitkan kerenah birokrasi dalam sesebuah agensi atau jabatan kerajaan, dikurangkan.

Presidennya, Datuk Azih Muda, berkata langkah itu dilihat perlu bagi memastikan aspek perkhidmatan awam dapat diperkasa dari semasa ke semasa.

"Dalam kehidupan ini, kita lihat perkhidmatan yang diberikan oleh penjawat awam itu sangat penting. Apa yang dikehendaki oleh masyarakat ialah penyampaian yang berkesan. Jadi, bagaimana kerajaan harus melihat sistem penyampaian ini agar (perkhidmatan yang diberikan) lebih cepat dan berkesan tanpa melalui proses birokrasi yang rumit.

"Masyarakat akan lebih berpuas hati jika perkhidmatan yang diberikan itu dilakukan dengan pantas," katanya kepada BERNAMA.

Beliau berkata, sebagai contoh, kaedah yang dilaksanakan melalui penubuhan Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) dengan beberapa perkhidmatan diadakan di bawah satu bumbung telah dapat memudahkan urusan orang ramai dengan agensi atau jabatan kerajaan.

"Ini adalah satu daripada langkah yang diambil untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat. Kita juga yakin pelbagai inisiatif lain perlu dibuat bagi meningkatkan produktiviti seperti mengadakan program, kursus dan mungkin juga pertukaran pandangan antara organisasi," katanya.

Malah, Azih turut mengakui yang mutu perkhidmatan awam di negara ini sudah lebih maju namun ia perlu ditambah baik pada masa akan datang. - BERNAMA

Berita Harian X