Rabu, 11 Julai 2018 | 10:59pm
DATUK Seri Alwi Ibrahim. - Foto NSTP

KDN nafi prosedur tapisan keselamatan tambahan pelancong China

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menafikan wujud prosedur tapisan keselamatan tambahan bagi pelancong warganegara China ke Malaysia seperti yang dilaporkan portal berita MalaysiaKini.

Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Alwi Ibrahim dalam satu kenyataan berkata, pihaknya dan Jabatan Imigresen Malaysia tidak melakukan sebarang persetujuan mengenai prosedur tapisan keselamatan tambahan dalam proses permohonan visa Malaysia bagi pelancong dari semua negara termasuk rakyat China.

"Buat masa ini, pelancong yang ingin ke Malaysia akan memohon visa melalui dua pilihan saluran, iaitu yang pertama permohonan visa secara manual melalui Pusat Sehenti Setempat (OSC), dan kedua Permohonan visa secara atas talian (eVISA).

"Pelancong warganegara China boleh memohon visa Malaysia melalui pilihan atau opsyen yang diberikan dan juga opsyen ketiga melalui permohonan Electronic Travel Registration and Information (eNTRI), iaitu kemudahan khas yang diberikan kepada rakyat China sepanjang tempoh pelaksanaan pengecualian visa iaitu sehingga 31 Disember 2018," katanya.

Alwi berkata, saringan keselamatan yang dilaksanakan oleh Jabatan Imigiresen adalah salah satu Piawaian Prosedur Operasi (SOP) sebelum kelulusan visa diberikan dan bertindak sebagai mekanisme awal bagi mengesahkan latar belakang pemohon.

Terdahulu, portal berita MalaysiaKini semalam mengeluarkan artikel bertajuk "China nationals coming to M'sia to be subject to pre-screening."

Artikel itu menyatakan mengenai pengwujudan prosedur tapisan keselamatan tambahan bagi pelancong China ke Malaysia yang akan dilaksanakan oleh Chinese Citizen Security Assessment Centre to Malaysia (CCSACM).

Berita Harian X