Khamis, 12 Julai 2018 | 3:22pm
Menteri Tenaga, Teknologi, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin ketika sesi soal jawab pada Majlis Townhall Sesion "Reindustri" dan turut bersama timbalannya Isnaraissah Munirah Majilis di Hotel Marriot, Putrajaya. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Pembatalan 4 kontrak IPP akan ditentukan Kabinet

PUTRAJAYA: Kerajaan bercadang membatalkan kontrak empat syarikat pengeluar tenaga bebas (IPP) yang dianugerahkan oleh pentadbiran terdahulu, yang akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet minggu depan.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin berkata, keputusan rasmi berhubung pembatalan itu hanya akan ditentukan minggu depan selepas mendapat persetujuan Kabinet.

Beliau berkata, sebelum ini, Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) mencadangkan lapan IPP tetapi kementeriannya masih mengkaji perkara itu.

"Empat yang ini, kita sudah kenal pasti dan pembatalannya akan ditentukan secara rasmi selepas mendapat persetujuan Kabinet minggu depan. Sekarang saya tidak boleh umumkan mereka, minggu depan selepas Jemaah Menteri luluskan, saya akan umumkan secara rasmi empat IPP ini.

"Kita perlu faham bila kerajaan nak batalkan sesuatu, kita kena kaji sama ada akan beri implikasi terutama dari segi kewangan, perundangan dan teknikal.

"Setakat ini empat yang kita kenal pasti adalah IPP yang berisiko rendah dan tidak memberi implikasi dari segi kewangan, teknikal dan perundangan kepada kerajaan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri Sesi Townhall Perdana: Industri Tenaga Boleh Baharu bersama Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar di kementeriannya.

Bee Yin bagaimanapun enggan menamakan IPP yang terbabit tetapi mengesahkan ia adalah IPP yang baharu dan satu daripadanya adalah syarikat tersenarai awam (PLC).

Sebelum ini, ketika berucap pada majlis berkenaan, Bee Yin berkata ada kontrak IPP yang diluluskan melalui rundingan secara langsung oleh kerajaan terdahulu, justeru ada keperluan untuk membatalkannya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan proaktif ke arah mencapai 20 peratus penggunaan tenaga boleh diperbaharui di negara ini di mana ketika ini hanya mencapai dua peratus.

Berita Harian X