Sabtu, 14 Julai 2018 | 2:26pm

Kebajikan veteran ATM tidak pernah diabaikan

KUALA LUMPUR: Segala bantuan yang selayaknya diperolehi oleh semua bekas anggota tentera dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM), tidak kira berpencen atau tidak, masih diteruskan seperti biasa mengikut garis panduan dan peraturan ditetapkan.

Unit Komunikasi Strategik, Kementerian Pertahanan Malaysia, dalam kenyataannya hari ini, berkata, pihaknya sentiasa menjaga kebajikan anggota tentera atau Veteran ATM, dan akan membuat penambahbaikan kepada bantuan sedia ada dari semasa ke semasa dengan mengambil kira kemampuan kewangan dan ekonomi kerajaan.

"Kementerian Pertahanan menerusi Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) sentiasa membela dan menjaga kebajikan veteran ATM dengan menyediakan pelbagai bentuk bantuan kebajikan sama ada yang berpencen atau tidak berpencen.

"Antaranya, Bantuan Sara Hidup, Bantuan Persekolahan/Kolej Vokasional Kebangsaan, Bantuan Kemasukan Ke IPTA/Politeknik, Bantuan Perubatan, Bantuan Peralatan Pesakit, Bantuan Bencana Alam, Bantuan Pengurusan Jenazah dan Bantuan Perumahan (baik pulih dan bina baharu)," katanya.

Semalam, BH melaporkan keluhan kira-kira 250,000 bekas tentera tidak berpencen di seluruh negara menjadi apabila mereka mendakwa tidak mengetahui status kebajikan di bawah pentadbiran Kerajaan Pusat baharu.

Presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera Tidak Berpencen Malaysia (PVATTBM), Ismail Bidin dilaporkan berkata, bantuan kebajikan yang diterima veteran sejak 20 tahun lalu, kini dilihat bakal ditamatkan berikutan dasar kerajaan mahu mengurangkan perbelanjaan negara.

"Sebelum ini, kami mendapat pelbagai bantuan kebajikan seperti perubatan, baik pulih rumah, sara hidup untuk balu dan kuota haji.

"Bagaimanapun, status bantuan berkenaan kini menjadi tanda tanya. Kami harap ia dikekalkan berikutan bilangan veteran dan balu yang kian bertambah di seluruh negara," katanya.

Berita Harian X