Sabtu, 14 Julai 2018 | 8:42pm

Arab Saudi beri keistimewaan kepada jemaah haji Malaysia

SEPANG: Selepas kejayaan program rintis pada tahun lalu, kemudahan pra-pelepasan membabitkan jemaah haji Malaysia diteruskan tahun ini di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Kemudahan pra-pelepasan itu membabitkan proses dokumentasi visa, pasport dan biometrik selain saringan kesihatan serta pemeriksaan kastam oleh pihak berkuasa Arab Saudi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, berkata langkah berkenaan satu keistimewaan kepada jemaah haji Malaysia disediakan kerajaan Arab Saudi, sekali gus mereka tidak perlu menunggu lama sebaik tiba di Tanah Suci.

"Keluar sahaja dari pesawat sebaik tiba di Tanah Suci, jemaah haji Malaysia boleh terus menaiki bas yang disediakan untuk ke hotel manakala bagasi masing-masing akan terus dihantar ke hotel.

"Jadi, kemudahan pra-pelepasan ini memang sangat membantu kerana jemaah haji tidak perlu melalui proses dokumentasi memandangkan sudah dibuat terlebih dahulu di KLIA," katanya ketika ditemui pada pelepasan jemaah haji Malaysia di Kompleks Tabung Haji (TH) Sepang, di sini, sebentar tadi.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Arab Saudi kerana memberikan kemudahan berkenaan kepada rakyat Malaysia.

Katanya, Malaysia adalah negara pertama di dunia yang diberi peluang melakukan proses pra-pelepasan oleh pihak Arab Saudi di sini.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali, berkata sebanyak 76 petugas daripada pelbagai agensi kerajaan Arab Saudi ditugaskan di KLIA bagi memastikan proses pra-pelepasan berkenaan berjalan lancar.

"Berdasarkan pengalaman saya ke Tanah Suci pada musim haji lalu, tanpa proses pra-pelepasan ini, setiap jemaah perlu beratur panjang untuk melalui proses dokumentasi di lapangan terbang di sana.

"Sistem ini sangat cepat kerana apabila mereka sampai ke Tanah Suci, jemaah haji akan terus naik bas manakala bagasi terus dibawa ke hotel masing-masing," katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, bersalam bersama jemaah haji sebelum mereka berlepas di Kompleks Tabung Haji, Sepang. - Foto Mohd Fadli Hamzah
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, bersalam bersama jemaah haji sebelum mereka berlepas di Kompleks Tabung Haji, Sepang. - Foto Mohd Fadli Hamzah
Berita Harian X