Isnin, 16 Julai 2018 | 12:20pm
AHLI-AHLI Parlimen pembangkang bertindak meninggalkan Dewan Rakyat selepas memprotes perlantikan Speaker Dewan Rakyat ketika Majlis Angkat Sumpah dan Persidangan Parlimen Ke-14 di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur. - Foto Asyraf Hamzah

Parlimen terima notis pencalonan 2 Julai

KUALA LUMPUR: Parlimen sudah menerima notis pencalonan Yang di-Pertua Dewan Rakyat pada 2 Julai lalu, sekali gus mematuhi syarat di bawah Perkara 57 Perlembagaan Malaysia.

Setiausaha Dewan Rakyat, Datuk Rosmee Hamzah, berkata pihaknya menerima nama calon berkenaan pada tarikh iaitu sebelum 14 hari Dewan Rakyat mula bersidang.

Dewan Rakyat sebelum itu kecoh apabila Ahli Parlimen pembangkang tidak berpuas hati berikutan pelantikan Datuk Mohamad Ariff Md Yusof sebagai Yang di-Pertua yang baharu.

Memulakan bantahan itu adalah Datuk Takiyyudin Hassan (PAS-Kota Bharu) yang membangkitkan Peraturan Mesyuarat.

Beliau mendakwa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak mengikut syarat pelantikan Yang di-Pertua.

Beliau menegaskan, Perdana Menteri tidak mematuhi syarat kerana tidak mengusulkan nama calon Yang di-Pertua dalam tempoh 14 hari sebelum Parlimen bermula.

Kekecohan itu, sekali gus, mengakibatkan hampir semua Ahli Parlimen keluar dari Dewan Rakyat kerana tidak berpuas hati terhadap cara pelantikan itu.

Mohamad Ariff yang juga bekas hakim Mahkamah Rayuan dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat hari ini.

Berita Harian X