Isnin, 16 Julai 2018 | 4:12pm
YANG Dipertua Dewan Rakyat baharu Datuk Mohamad Ariff Yusof menandatangani watikah pelantikannya pada Majlis Angkat Sumpah Anggota Parlimen bagi Persidangan Penggal Pertama Parlimen ke-14 hari ini. - Foto BERNAMA

Pelantikan sah mengikut Peraturan Mesyuarat

KUALA LUMPUR: Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof, menegaskan pelantikannya tidak bercanggah dengan Perkara 4(1) Peraturan Mesyuarat seperti didakwa pembangkang.

Katanya, surat mencalonkan namanya diserahkan pada 2 Julai lalu, iaitu 14 hari sebelum persidangan Parlimen, seperti yang disahkan oleh Setiausaha Dewan Rakyat, Datuk Roosme Hamzah.

Sehubungan itu, Mohamad Ariff berkata, polemik bahawa pelantikannya tidak sah dan bercanggah dengan Peraturan Mesyuarat sepatutnya tidak timbul.

"Ia (surat pencalonan pada 2 Julai) disahkan oleh Setiausaha Dewan Rakyat," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai tarikh sebenar nama pencalonannya dihantar ke pejabat Setiausaha Dewan Rakyat susulan wujud tindakan memboikot pelantikan bekas Ketua Hakim Mahkamah Rayuan itu sebagai Speaker Dewan Rakyat.

Mohamad Ariff menyedari media ketika ini 'ligat' memainkan polemik pelantikannya sebagai Speaker Dewan Rakyat sehingga menimbulkan pelbagai tanda tanya dalam kalangan pemerhati undang-undang.

Kegusaran itu, katanya, tidak harus timbul jika semua pihak berpegang kepada kenyataan yang dibuat Roosme ketika mengemudikan proklamasi Dewan Rakyat, pagi tadi.

"Benda (isu) ini saya tahu media cakap banyak mengenai surat pelantikan. Itu bukan caranya, pelantikan adalah berdasarkan bidang kuasa Dewan Rakyat, kita berpegang kepada kenyataan Setiausaha Dewan Rakyat," katanya.

Ditanya keperluan untuk mengambil tindakan terhadap Ahli Parlimen yang memboikot perjalanan majlis angkat sumpah, Mohamad Ariff berkata, pendirian sedemikian tidak wujud selaras gagasan Malaysia Baharu.

Setiap Ahli Parlimen, katanya, mempunyai hak demokrasi dan kebebasan bersuara, termasuk melancarkan gerakan memboikot persidangan Parlimen berikutan sebab tersendiri.

"Saya tidak tahu. Saya ingat ia sudah selesai, ini Malaysia baharu, (Semua ada) hak demokrasi, kebebasan bersuara," katanya.

Berita Harian X