Isnin, 16 Julai 2018 | 5:41pm
AHMAD Samsuri (dua kanan) diiringi Noor Fadzil (kanan) menyempurnakan pelancaran Loji Janakuasa Tenaga Solar Berkapasiti 18.5 Mega Watt (MW), di Telok Kalong, hari ini. - Foto Rozainah Zakaria

PAS setuju Ahmad Zahid ketua pembangkang

CHUKAI: Pelantikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sebagai ketua pembangkang pada persidangan Parlimen dipersetujui oleh PAS.

Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, persetujuan itu dicapai hasil perbincangan antara Ahmad Zahid dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Sabtu lalu.

Katanya, perbincangan tertutup yang diadakan di pejabat Kesatuan Ulama Islam Sedunia (KUIS) di masjid Rusila selama 30 minit itu tidak membincangkan soal calon untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan negeri (DUN) Sungai Kandis, Selangor.

"Pada perbincangan yang turut dihadiri Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan dan Ahli Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali itu, Ahmad Zahid hanya meminta pandangan dan nasihat daripada Abdul Hadi.

"Ini adalah kali pertama UMNO dan Barisan Nasional (BN) menjadi pembangkang pada persidangan Parlimen, tentunya pandangan dan nasihat serta tunjuk ajar daripada kepimpinan PAS diperlukan Ahmad Zahid," katanya ketika ditemui selepas merasmikan pelancaran Loji Janakuasa Tenaga Solar Berkapasiti 18.5 Mega Watt (MW) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Eastern Pacific Industrial Corporation Bhd (EPIC), Noor Fadzil Mohamed Nor.

Ahmad Samsuri berkata demikian mengulas hasil pertemuan tertutup antara Ahmad Zahid dan Abdul Hadi, Sabtu lalu.

Ketika mengulas cadangan asal Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk supaya Abdul Hadi menjadi pembangkang, Ahmad Samsuri mengesahkan ada perbincangan mengenai isu itu.

Katanya, PAS yang mengamalkan politik matang dan sejahtera menolak cadangan itu, sebaliknya bersetuju sekiranya Ahmad Zahid menjadi ketua pembangkang.

"PAS hanya memenangi 18 kerusi Parlimen dan UMNO memiliki 52 kerusi, jadi kita bersetuju memberi tanggungjawab kepada Ahmad Zahid menjadi ketua pembangkang," katanya.

Ketika mengulas mengenai kekecohan di Parlimen sehingga menyebabkan ahli parlimen PAS dan UMNO keluar dewan pagi tadi, Ahmad Samsuri enggan mengulas lanjut.

"Saya tidak hadir pada persidangan Parlimen walaupun dijemput, jadi saya tidak tahu apa yang berlaku," katanya.

Berita Harian X