Selasa, 17 Julai 2018 | 2:50pm
KHAIRY Jamaluddin Abu Bakar ketika Istiadat Pembukaan Penggal Pertama Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen. - Foto Asyraf Hamzah
KHAIRY Jamaluddin Abu Bakar ketika Istiadat Pembukaan Penggal Pertama Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen. - Foto Asyraf Hamzah

Kekalkan GST, mungkin pada kadar lebih rendah - KJ

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mengekalkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kerana lebih efisyen berbanding memperkenalkan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, berkata kerajaan seharusnya menggunakan pendekatan yang lebih rasional walaupun GST kini menjadi isu politik utama buat Pakatan Harapan (PH).

"Saya akan bercakap isu ini (GST) pada sesi debat di Parlimen. GST adalah cukai lebih efisyen berbanding SST. Kerajaan patut mengekalkan GST tetapi pada kadar yang lebih rendah sekali gus mampu memberi pendapatan seperti SST. Mungkin pada kadar tiga atau empat peratus. SST tidak efisyen dan banyak kelompangan.

"Saya sedar GST menjadi isu politik yang besar kepada kerajaan tetapi pendekatan yang digunakan harus rasional. Jangan mansuh GST disebabkan politik. Jangan biarkan politik menentukan dasar ekonomi," katanya menerusi kiriman di Twitter hari ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng semalam mengumumkan SST yang akan diperkenalkan semula pada 1 September depan ditetapkan pada kadar 10 peratus bagi jualan dan 6 peratus untuk perkhidmatan.

Beliau berkata, Rang Undang-undang (RUU) SST dijangka dibentangkan di Parlimen Ogos ini bagi menggantikan GST yang mana pengenalan semula SST dijangka menyumbang RM4 bilion kepada hasil kerajaan.

Berita Harian X