Selasa, 17 Julai 2018 | 11:36pm
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar semasa berucap pada majlis Jalinan Mesra bersama media di Cyberview Resort & Spa, Cyberjaya. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar semasa berucap pada majlis Jalinan Mesra bersama media di Cyberview Resort & Spa, Cyberjaya. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

'Jangan hanya salahkan media'

CYBERJAYA: Ahli politik dan pemimpin kerajaan tidak seharusnya menyalahkan media sekiranya mereka sendiri memberi maklumat tidak tepat untuk dilaporkan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar, mengakui ada rungutan dalam kalangan ahli politik berhubung laporan disiarkan media.

"Saya selalu sebutkan kepada rakan iaitu jika kita cakap perkara yang kita tidak tahu, itulah yang media dedahkan atau akan ada ruang orang memanipulasi ucapan atau kenyataan dibuat.

"Kita tidak boleh menyalahkan media yang melaporkan salah lapor kerana orang itu sendiri memberikan maklumat tidak tepat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi jalinan mesra Timbalan Menteri Sumber Manusia bersama media Putrajaya dan Kuala Lumpur di sini, malam ini.

Mahfuz berkata, pemimpin termasuk pegawai dan kakitangan kerajaan secara keseluruhannya perlu memastikan maklumat disampaikan kepada media adalah tepat dan betul.

"Dengan ini, tidak ada ruang untuk media memberi laporan salah dan menyebabkan persepsi masyarakat kepada kerajaan khususnya Kementerian Sumber Manusia," katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, media tidak perlu rasa takut untuk melaporkan sesuatu perkara tidak betul dilakukan oleh ahli politik.

"Media tak perlu rasa takut, simpan ketakutan kepada orang politik dan kena berani melaporkan apa yang dirasakan tak betul dibuat orang politik," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, media diperlukan untuk mengeluarkan laporan dan maklumat kepada rakyat berhubung perjalanan urusan kerajaan.

"Media juga bertanggungjawab melaporkan berita yang betul dan tepat, tidak bersifat khabar angin selain laporan berasaskan siasatan yang menyeluruh dan mendalam.

"Barulah berita disiarkan berkualiti tinggi dan tidak ada tuduhan atau fitnah kepada pihak yang berkenaan," katanya.

Berita Harian X