Rabu, 18 Julai 2018 | 12:39pm
ANTHONY Loke Siew Fook. - Foto Zulfadhli Zulkifli

Kajian harga siling tiket penerbangan selesai akhir bulan ini

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menetapkan harga siling tiket penerbangan selepas mengambil kira hasil kajian yang dijangka selesai hujung bulan ini, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Beliau berkata, mekanisme penetapan itu akan ditambah baik dengan suatu kadar tambang tanpa mengenakan caj lain seperti surcaj bahan api.

Katanya, harga siling itu juga akan dikaji lebih kerap mengikut keperluan semasa melalui persetujuan antara Kementerian Pengangkutan, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dan MASwings.

"Semua ini akan dimuktamadkan bersama. Justeru, pihak MAVCOM akan mengemukakan hasil kajian dan cadangan penyelesaian kepada pihak kementerian untuk pertimbangan serta seterusnya diambil tindakan," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Lau Kiong Yieng (PH-Lanang) yang bertanya apakah langkah kerajaan untuk memastikan harga tiket penerbangan domestik terutama pada musim perayaan tidak terlalu mahal.

Mengulas lanjut, Anthony berkata, penetapan harga siling juga merangkumi tiket penerbangan ke destinasi di luar bandar seperti yang dikendalikan oleh MASwings selaku operator.

Menjawab soalan tambahan yang diajukan Datuk Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Bharu) berkenaan harga tiket penerbangan mahal meskipun bukan pada musim perayaan.

Anthony menegaskan, pihaknya mengambil berat isu peningkatan keterlaluan harga tiket pada hari biasa terutama bagi penerbangan di Semenanjung Malaysia.

"Kita kena siasat secara menyeluruh mengenai implikasi harga tiket penerbangan, untuk mengetahui punca mengapa harga tiket mengalami peningkatan keterlaluan," katanya.

Berita Harian X