Rabu, 18 Julai 2018 | 7:11pm
Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri.
Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri.

Mufti Wilayah serah kajian Bayan Linnas pada TPM

KUALA LUMPUR: Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri sudah menyerahkan kajian lengkap Bayan Linnas yang menyentuh isu Perkahwinan Kanak-Kanak Mengikut Perspektif Syariah.

Beliau berkata, kajian itu beliau serahkan sendiri kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail selepas berakhir sidang Parlimen, semalam.

"Saya berharap perbincangan seterusnya dapat dibuat dengan Dr Wan Azizah bagi mencari penyelesaian mengenai isu perkahwinan kanak-kanak bawah umur, dalam masa terdekat.

"Saya tidak boleh membuat sebarang kenyataan mengenai pandangan beliau (Dr Wan Azizah) memandangkan kajian itu baru sahaja diserah semalam namun hasil perbincangan akan diberitahu untuk rujukan ramai," katanya ketika dihubungi NSTP di sini, hari ini.

Menurut Dr Zulkifli, kajian lengkap Bayan Linnas Siri Ke-141 itu adalah hasil kajian dan perbincangan beliau bersama pasukannya daripada Unit Kajian Ilmiah yang dilakukan secara terperinci selama hampir sebulan.

Sementara itu, Dr Wan Azizah menerusi kiriman di Twitter mengucapkan terima kasih atas keprihatinan Dr Zulkifli yang memperjelaskan isu perkahwinan kanak-kanak bawah umur dan beliau turut berharap menjadikan kalam mufti sebagai rujukan dalam pentadbiran kerajaan.

Kisah perkahwinan kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun yang dikatakan warga Thailand dengan lelaki tempatan berusia 41 tahun itu tersebar luas sejak beberapa minggu lalu dan mengundang reaksi pelbagai pihak.

Menerusi kajian berkenaan, Dr Zulkifli memperjelaskan hukum perkahwinan kanak-kanak seharusnya mengikut undang-undang yang sudah ditetapkan.

"Walaupun hukum berkahwin dengan gadis kecil adalah sah, dengan merenung maksud dan matlamat perkahwinan, jelas menunjukkan sewajarnya kanak-kanak itu mestilah dalam usia yang mampu menanggung hubungan kelamin dan memahami kesan daripada perkahwinan itu seperti perceraian, mengandung dan nafkah.

"Melihat kepada zuruf dan adat, sewajarnya perkahwinan di bawah umur tidak dibenarkan kecuali yang membabitkan kes tertentu. Kes terpencil seperti ini, disifatkan sebagai yang nadir dan jarang," katanya.

Berita Harian X