X
Rabu, 18 Julai 2018 | 7:35pm
Ketua Pembangkang yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama (kanan) dan Ahli Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa dilihat keluar dari Dewan Rakyat selepas persidangan ditangguhkan, hari ini. - Foto BERNAMA
Ketua Pembangkang yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama (kanan) dan Ahli Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa dilihat keluar dari Dewan Rakyat selepas persidangan ditangguhkan, hari ini. - Foto BERNAMA

Ahmad Zahid berucap sebagai Ketua Pembangkang

KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat hari ini mencatat sejarah tersendiri apabila buat kali pertama, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (BN-UMNO Bagan Datuk) berucap di blok kiri dewan sebagai Ketua Pembangkang.

Beliau yang juga Presiden UMNO kelihatan tenang dan bersahaja ketika menyampaikan ucapan menjunjung kasih Titah Yang di-Pertuan Agong walaupun kali pertama berucap di blok pembangkang.

Namun begitu, dalam ucapannya, bekas Timbalan Perdana Menteri itu reda dengan nasib menimpa Barisan Nasional (BN) yang kini menjadi pembangkang selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) tetapi bersikap optimis nasib akan kembali menyebelahi mereka.

Malah beliau turut mengucapkan tahniah kepada Pakatan Harapan (PH) yang berjaya menjadi kerajaan selepas PRU-14 dan berharap kedua-dua pihak dapat mewujudkan jalinan hubungan yang baik bagi menjaga kemuliaan Dewan Rakyat.

"Saya ucapkan tahniah kepada rakan di sini, yang lama dan yang baharu, begitu juga di sebelah sana, yang lama dan yang baru dapat kita bersama di dewan yang mulia ini.

"Allah SWT sudah mentakdirkan kami (BN) di sini (blok pembangkang) tetapi ingatlah kami akan berpindah ke sana (blok kerajaan).

"Ini satu hakikat dan kita harus tahu ada hikmahnya di sana dan di sini termasuk di sana harus belajar dengan di sini yang saya fikir harus ada jalinan baik di antara di sana dengan di sini," katanya.

Sementara itu, antara isu disentuh Ahmad Zahid dalam ucapannya adalah kepentingan semua pihak memelihara dan menjaga perkara termaktub dalam perlembagaan khususnya kedudukan agama Islam, hak keistimewaan Melayu dan bahasa kebangsaan.

"Adakah kita menjadi rasis jika perkara termaktub dalam Perlembagaan mahu dikekalkan. Adakah kita 'terrorist' jika hendak tegakkan agama Islam.

"Adakah akan ketepikan bahasa lain kalau kita memperjuangkan Bahasa Kebangsaan. Kita harus rasional walaupun berbeza pendapat, tetapi ini soal prinsip bersama," katanya.

Berita Harian X