Khamis, 19 Julai 2018 | 11:53am

Majoriti barangan dikecualikan cukai SST - JKDM

PETALING JAYA: Majoriti barangan akan dikecualikan cukai dalam pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang diperkenalkan semula, 1 September depan.

Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Seri T Subromaniam, berkata melalui SST, jumlah barangan dikenakan cukai akan berkurangan berbanding pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

"Pelaksanaan SST jauh lebih mudah daripada GST. Jika sebelum ini kita berjaya melaksanakan GST, maka tiada sebab untuk kita tidak dapat melaksanakan SST.

"Majoriti barangan akan dikenakan cukai pada kadar sifar, manakala sebahagiannya pula lima dan 10 peratus," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan taklimat penerangan pelaksanaan SST bersama industri di Auditorium Perdana, Kompleks Kastam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di sini, pagi tadi.

Subromaniam berkata, senarai barangan dikecualikan cukai akan dimuat naik dalam portal GST yang ditukarkan kepada portal SST nanti.

Bawah SST, katanya, sistem pemfailan serta pembayaran akan dilakukan secara elektronik dan tidak sama dengan GST.

"Kami ada sistem SST baharu yang lebih memudahkan peniaga dan tidak menggunakan kaedah manual seperti sistem SST sebelum ini," katanya.

Ketika ditanya mengenai isu kenaikan harga barangan pula, beliau berkata, ada banyak faktor lain yang menyumbang perkara itu.

"Cukai ialah satu daripada faktor, namun ada faktor lain di luar kawalan seperti permintaan dan penawaran barangan serta kenaikan harga minyak.

"Jangan menyalahkan cukai semata-mata yang kononnya menyumbang kenaikan harga barang," katanya.

Sementara itu, pada majlis sama, beliau turut melancarkan program hand-holding berkenaan SST kepada industri yang akan dilaksanakan ke seluruh negara bermula 24 Julai ini.

Katanya, sesi kedua penerangan mengenai SST akan diadakan sejurus akta dan perundangan berkaitan diluluskan Parlimen yang dijangkakan pada bulan depan.

KETUA Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Seri T Subromaniam pada sidang media selepas merasmikan taklimat penerangan pelaksanaan SST bersama industri di Auditorium Perdana, Kompleks Kastam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Petaling Jaya, pagi tadi. - Foto Saddam Yusoff
Berita Harian X