Khamis, 19 Julai 2018 | 1:31pm

Impak SST kurang banding GST - Guan Eng

KUALA LUMPUR: Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata hanya 38 peratus barang dikenakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang akan diperkenalkan semula pada 1 September depan, berbanding 60 peratus ketika pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Bawah SST, beliau berkata, antara barang yang tidak lagi dikenakan cukai ialah sardin, susu, kopi, teh dan sos cili.

"SST tidak menjadi isu dalam politik atau rakyat. SST adalah cukai satu peringkat yang dikenakan terhadap pihak pengilang dan bukan pengguna," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Ketika menjawab soalan tambahan Datuk Ahmad Maslan (BN-UMNO Pontian) pada Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) pula, Guan Eng berkata, impak pelaksanaan SST terhadap rakyat sebagai pengguna akhir, adalah kurang berbanding GST.

Beliau berkata, walaupun 'tidak setelus dan secekap' GST, kerajaan prihatin serta memberi tumpuan memastikan pelaksanaan SST menghasilkan impak rendah dan tidak membebankan golongan itu.

"Kita perlu lihat, SST dikenakan terhadap pengguna pada satu peringkat sahaja. Namun, GST pada pelbagai peringkat, itu sebab harga tidak turun dan akan naik.

"Kita tidak menafikan ada impak tertentu. Yang penting, kesan SST adalah kurang daripada GST. Kutipan GST ialah RM44 bilion, SST pula RM21 bilion, iaitu kurang RM23 bilion.

"Impak ada tetapi separuh rakyat menderita bawah GST," katanya. jawab lisan di Dewan Rakyat.

Beliau berkata sebanyak 38 peratus barang tidak dikenakan SST berbanding GST, 60 peratus dikenakan ke atas barangan.

Contoh barang GST kini tidak lagi (dikenakan) adalah sardin, susu, kopi, teh, sos cili, motosikal dan basikal perlu ditegaskan sudah kembali ke cukai lama dengan pelaksanaan SST.

Berita Harian X