Khamis, 19 Julai 2018 | 7:07pm
Timbalan Pengerusi SPR, Tan Sri Othman Mahmood semasa sidang media pilihan raya kecil (PRK) Dun N.49 Sungai Kandis, Selangor di Menara Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Putrajaya, 9 Julai lalu. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
Timbalan Pengerusi SPR, Tan Sri Othman Mahmood semasa sidang media pilihan raya kecil (PRK) Dun N.49 Sungai Kandis, Selangor di Menara Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Putrajaya, 9 Julai lalu. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Patuhi peraturan pilihan raya - SPR

PUTRAJAYA: Semua pihak diminta sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika dan arahan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) pada hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Sabtu ini.

Timbalan Pengerusi SPR, Tan Sri Othman Mahmood berkata, ia bagi memastikan proses penamaan calon berjalan dengan aman, harmoni serta tidak ada gangguan.

"Seksyen 24A, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 [Akta 5] memperuntukkan mengenai perkara yang tidak boleh dilakukan semasa hari penamaan calon seperti penggunaan alat muzik atau pembesar suara bagi tujuan dakyah politik melalui apa-apa cara termasuk menerusi penggunaan kenderaan.

"Orang ramai juga dilarang menunggu atau berada dalam jarak 50 meter dari sempadan pusat penamaan calon, jika ada mana-mana pihak melanggar peruntukan seksyen ini, tindakan undang-undang boleh dikenakan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, SPR berharap proses penamaan calon akan berjalan lancar dan tidak mengganggu ketenteraman serta keselamatan awam.

Sementara itu, Othman berkata, tempoh masa untuk mengemukakan kertas penamaan calon bermula dari jam 9 pagi hingga 10 pagi.

"Kertas penamaan calon yang sudah lengkap diisi dengan betul boleh dikemukakan kepada Pegawai Pengurus oleh salah seorang daripada calon, pencadang dan penyokong, mana-mana dua orang daripada mereka atau mana-mana seorang daripada mereka.

"Selain itu, SPR mengingatkan bakal calon yang hendak membayar deposit calon RM5,000 boleh berbuat demikian secara deraf bank atau secara tunai.

"Bayaran itu boleh juga dibuat sebelum hari penamaan calon dan mereka perlu membawa resit berkenaan pada hari penamaan calon sebagai bukti bayaran," katanya.

Katanya, bagi bakal calon yang bertanding mewakili parti politik, mereka diingatkan supaya membawa surat kebenaran daripada parti yang membenarkan mereka menggunakan simbol parti.

PRK DUN Sungai Kandis diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya, Mat Shuhaimi Shafiei, 50, pada 2 Julai lalu akibat kanser limfoma. Berikutan itu, SPR menetapkan 4 Ogos sebagai hari pengundian.

Berita Harian X