Jumaat, 20 Julai 2018 | 6:52pm
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menerima sumbangan RM650 ribu yang di sampaikan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Patriot Negara Malaysia , Muhammad Zharif Johor turut bersama Presiden Asia Pacific Platinum Business Club , Benjamin Ee (kiri) , Ahli Kehormat Asia Pacific Platinum Business Club , Datuk Seth Yap Ting Hau ( dua kiri) , Pengarah Strategi dan Ekonomi Yayasan Patriot Negara Malaysia , Burharuddin Mohd Noor (dua kanan) dan Pengerusi Asia Pacific Platinum Business Club , Dr. Cecil Chao (kanan) pada Majlis Penyerahan Sumbangan Tabung Harapan Malaysia di Menara Yayasan Selangor. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Tabung Harapan: Yayasan Patriot Negara sumbang RM650,000

PETALING JAYA: Yayasan Patriot Negara (YPN) hari ini menyumbangkan sebanyak RM650,000 kepada Tabung Harapan Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif YPN, Muhammad Zharif Johor, berkata pihaknya bersama rakan strategik melancarkan kempen 'Demi Pembangunan Negara' sejak 1 Jun lalu dan dapat mengumpulkan sejumlah RM650,000 itu untuk disalurkan kepada Tabung Harapan.

"Jumlah yang dikumpul melebihi sasaran asal, RM250,000 dan ini membuktikan semangat patriotisme masih tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia," katanya selepas menyampaikan replika cek sumbangan itu kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Yayasan Selangor, di sini, hari ini.

Yang turut hadir wakil dari Asia Pasific Platinum Business Club, Datuk Seth Yap Ting Hau dan Dr Cecil Chao yang juga rakan strategik YPN serta menjadi penyumbang terbesar kempen itu.

Muhammad Zharif berkata, sumbangan berkenaan diperoleh daripada pelbagai aktiviti antaranya penawaran nombor pendaftaran kenderaan khas siri PATRIOT.

"Kami kini sedang merancang pelbagai aktiviti tambahan hingga 2020 yang akan membabitkan unsur patriotisme dan perpaduan dalam program pendidikan, sukan, hiburan dan perdagangan," katanya.

Sementara itu di Putrajaya, empat syarikat utama dalam industri minyak sawit menyumbang RM5.3 juta kepada Tabung Harapan.

IOI Corporation Bhd dan Kuala Lumpur Kepong Bhd (KLK) masing-masing menyumbang RM2 juta manakala dua lagi syarikat iaitu Sime Darby Plantation Bhd dan Sarawak Oil Palm Bhd menyumbang RM1 juta dan RM300,000.

Sumbangan itu diterima oleh Menteri Industri Utama, Teresa Kok.

Yang turut hadir pada majlis itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IOI, Datuk Lee Yeow Chor; Ketua Pegawai Eksekutif KLK, Tan Sri Lee Oi Hian; Pengarah Urusan Sime Darby Plantation, Tan Sri Mohd Bakke Salleh dan Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Oil Palm, Paul Wong.

Setakat jam 3 petang semalam, Tabung Harapan sudah mengumpul dana sebanyak RM156 juta.

Penubuhan Tabung Harapan diumumkan Dr Mahathir pada 30 Mei lalu bagi membolehkan rakyat Malaysia menyalurkan sumbangan selepas mengetahui paras hutang kerajaan mencecah RM1 trilion.

Penubuhan tabung itu membolehkan kerajaan menguruskan sumbangan ikhlas rakyat dengan cara yang lebih sistematik dan telus.

Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan mereka menerusi akaun Maybank 5660 1062 6452 dalam bentuk mata wang tempatan (Ringgit Malaysia) sahaja.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sebelum ini berkata, sumbangan derma yang disalurkan kepada Tabung Harapan akan hanya digunakan untuk membayar hutang kerajaan.

Berita Harian X