Jumaat, 20 Julai 2018 | 7:21pm
Eksport ternakan kambing dan biri-biri dari Australia digantung. - Gambar hiasan

Australia gantung eksport ternakan ke Malaysia

SEREMBAN: Australia menggantung eksport ternakan kambing dan biri-biri ke Malaysia selama enam minggu, ketika umat Islam negara ini membuat persediaan menyambut Hari Raya Aidiladha.

Dalam satu notis yang dimuat naik di laman web Jabatan Pertanian dan Sumber Air negara itu, tarikh penggantungan semua aktiviti eksport yang ditetapkan adalah antara 7 Julai lalu sehingga 25 Ogos depan.

Pengarah Cawangan Pengeksportan Haiwan Hidup, Bahagian Pengeksportan jabatan berkenaan, Erin Payne dalam notis bertarikh 3 Julai lalu, berkata eksport ternakan terbabit disambung semula seperti biasa bermula 26 Ogos depan.

"Selepas Hari Raya Korban tahun lalu, jabatan ini menerima banyak laporan mengenai tahap kebajikan haiwan yang rendah, selain ternakan yang dieksport ke Malaysia tidak dapat dikawal dan dikesan.

"Majlis Pengeksport Ternakan Australia (ALEC) memaklumkan ahlinya bersetuju tidak mengeksport biri-biri dan kambing ke Malaysia menjelang Hari Raya Korban kali ini, berikutan kebimbangan Sistem Jaminan Rangkaian Bekalan Pengeksport (ESCAS) tidak dipatuhi.

"Penggantungan itu ditetapkan selepas jabatan mempertimbangkan maklumat diterima, termasuk risiko peningkatan ketidakpatuhan ketika aktiviti korban, kekurangan maklum balas daripada pengeksport susulan pelanggaran ESCAS tahun lalu dan bukti sistem kawalan pengeksport dan pengesanan ternakan kurang berkesan," katanya, di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan, Dr Zul Edham Wagiman, berkata pihaknya dimaklumkan oleh ibu pejabat, selain kambing dan biri-biri, pengeksportan lembu ke Malaysia turut dibekukan oleh Australia.

"Ibu pejabat sudah mengambil tindakan sewajarnya untuk menampung permintaan sepanjang tempoh itu, termasuk memberi kebenaran pembekal tempatan mengimport lebih banyak lembu, kambing dan biri-biri dari negara sumber lain terutama Thailand.

"Beberapa kelonggaran turut diberi untuk membawa masuk ternakan bagi tujuan sembelihan itu, termasuk mengecualikan ujian saringan darah dan suntikan vaksin yang diwajibkan jika haiwan itu untuk dibela atau dijadikan baka," katanya.

Beliau berkata, pihaknya bagaimanapun tidak berkompromi dengan polisi kawalan penyakit ternakan dan mewajibkan pembekal tempatan mematuhi semua syarat yang ditetapkan bagi mengelakkan perkara tidak diingini.

Dr Zul Edham turut meminta pembekal bekerjasama dengan pihaknya, terutama memastikan semua dokumen berkaitan termasuk sijil kesihatan disediakan, selain merekodkan destinasi haiwan terbabit bagi memastikan semua haiwan itu disembelih pada Hari Raya Aidiladha tahun ini.

Berita Harian X