Jumaat, 20 Julai 2018 | 7:25pm
Temuduga Khas Media Prima Berhad, dengan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya Kuching. - Foto Nadim Bokhari

Royalti dan keuntungan dua perkara berbeza - Abang Johari

PETRA JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad diminta menjelaskan secara terperinci berhubung isu pembayaran royalti hasil minyak empat negeri pengeluar petroleum di negara ini, khususnya Sarawak.

Kenyataan Perdana Menteri di Dewan Rakyat semalam mencetuskan sedikit kekeliruan, terutama dalam kalangan 'Anak Sarawak' yang tentunya menantikan berita menggembirakan itu sejak sekian lama.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, berkata sehingga kini beliau masih belum mendapat gambaran jelas mengenai perkara itu, sama ada ia membabitkan royalti atau keuntungan hasil petroleum.

"Kita tidak pasti kenyataan itu merujuk kepada royalti ataupun keuntungan. Kita masih belum mendapat gambaran jelas mengenainya dan tidak mahu diheret dalam isu berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam temubual khas bersama NSTP dan TV3 di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya di sini pagi tadi sempena Sambutan Hari Sarawak 2018.

Semalam, Dr Mahathir ketika menghadiri Sidang Parlimen memaklumkan Kerajaan Persekutuan di bawah kepemimpinan Pakatan Harapan (PH) memenuhi janji menyalurkan 20 peratus keuntungan minyak dan hasil petroleum negara kepada empat negeri pengeluar sumber itu.

Selain Sarawak yang mula mempelopori usaha itu sejak era kepemimpinan bekas Ketua Menteri, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem pada 2014, negeri lain yang bakal menerima imbuhan itu ialah Sabah, Terengganu dan Kelantan.

Malah, perkara itu turut dijanjikan PH dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14),9 Julai lalu.

Abang Johari yang bertanggungjawab terhadap portfolio kewangan dan pengurusan sumber asli negeri, Sarawak sentiasa mengalu-alukan sekiranya Kerajaan Pusat bersetuju meningkatkan kadar royalti minyak berkenaan.

"Namun, 20 peratus royalti dan bayaran keuntungan adalah dua perkara berbeza.... kita masih belum jelas mengenai perkara ini dan berharap ia dapat diperjelaskan bagi mengelak kekeliruan," katanya.

Pada 2014, Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak meluluskan usul agar Kerajaan Persekutuan meneliti semula kadar semasa lima peratus royalti minyak dan hasil petroleum negeri yang disifatkan tidak lagi relevan dengan perkembangan semasa.

Ia disusuli siri rundingan bersama PETRONAS sebagai agensi bertanggungjawab, namun tiada sebarang kata putus dicapai sehingga kini.

Bagi Sarawak, kenaikan kadar royalti kepada 20 peratus itu cukup munasabah seiring dengan kedudukannya sebagai pengeluar terbesar sumber minyak dan gas.

Ia juga berikutan impak besarnya terhadap pembangunan negeri bagi tempoh jangka panjang, terutama dalam konteks penyediaan infrastruktur dan kemudahan asas, sekali gus memperkasakan sosio-ekonomi rakyat.

Berita Harian X