Jumaat, 20 Julai 2018 | 8:52pm
Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) merangkap Perdana Menteri , Tun Dr Mahathir Mohamad menjawab soalan pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat kepimpinan majlis tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM ) turut bersama Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir (duduk kiri) dan Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (duduk kanan) di Menara Yayasan Selangor. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Tumpu usaha tarik pelabur China ke Malaysia - PM

[email protected]

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad akan menumpukan usaha untuk menarik pelabur China dalam kunjungannya ke negara itu pada Ogos ini.

"Saya akan menjemput syarikat China untuk melabur di Malaysia khusus bagi meningkatkan produktiviti menggunakan tenaga buruh dan sumber kita ," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Kepemimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), di sini, hari ini.

Dr Mahathir berkata, beliau juga akan mendapatkan perkembangan terkini apa yang sudah dilakukan oleh Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin dalam lawatannya ke negara itu.

"Beliau ada membangkitkan beberapa perkara berhubung pemberian kontrak dan kenyataan bahawa Malaysia tidak mempunyai wang," katanya.

Jelas beliau lagi, kerajaan tidak boleh meminjam terlalu banyak wang dan beliau kini cuba untuk mengurangkan jumlah pinjaman yang sudah dilakukan atau negara akan berdepan risiko muflis.

"Itu adalah perkara utama yang kita akan bincangkan semasa di China nanti," katanya.

Tun Daim bersama beberapa pegawai ke Beijing, China awal minggu ini bagi melakukan rundingan semula berhubung pinjaman negara bersama negara itu.

Tun Daim kini berada di China bagi melakukan rundingan semula pinjaman dan kontrak yang kerajaan terdahulu tandatangani dengan syarikat China.

Dr Mahathir Mohamad mengesahkan perkara ini di lobi Parlimen semalam.

"Apa yang dia (Tun Daim) cuba lakukan adalah berunding semula hal dan sebahagian daripada wang itu tidak diperlukan," katanya.

Daim dan beberapa pegawai kini berada di China membawa perutusan Dr Mahathir.

Ditanya sama ada mesyuarat itu produktif, beliau berkata Daim masih belum melaporkan kepadanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir masih belum menerima sebarang maklumat berhubung penahanan ahli perniagaan kontroversi, Jho Low di China.

"Saya anggap berita sebagai berita yang disensasikan. Mungkin 'fake news' (berita palsu)," katanya.

Berita Harian X