Jumaat, 20 Julai 2018 | 11:16pm
Sebahagian Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang berjaya ditahan pada operasi khas Imigresen di kawasan pembinaan sekitar Jalan Gambang-Kuantan. - Foto Farizul Hafiz Awang

'Kita mahu memerdekakan Malaysia daripada PATI'

KUANTAN: Jabatan Imigresen berikrar 'memerdekakan' negara ini daripada pendatang asing tanpa izin (PATI) mulai 31 Ogos ini iaitu selepas tamatnya tempoh program 3+1 yang dikhususkan bagi golongan itu.

Ketua Pengarah, Datuk Seri Mustafar Ali, berkata pihaknya tidak akan melanjutkan program itu yang membolehkan PATI tampil menyerah diri secara sukarela untuk dihantar pulang tanpa dikenakan tindakan tegas dan hanya perlu membayar RM400 bagi pas khas serta denda.

Tegasnya, sebaik saja tengah malam 31 Ogos ini pihaknya akan memburu pekerja asing yang bekerja secara haram dan mereka bakal dikenakan tindakan undang-undang yang memperuntukkan hukuman tegas.

Sebahagian Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang berjaya ditahan pada operasi khas Imigresen di kawasan pembinaan sekitar Jalan Gambang-Kuantan. - Foto Farizul Hafiz Awang

"Kita hendak ambil semangat kemerdekaan negara yang dicapai pada 31 Ogos 1957, kita mahu 'memerdekakan' Malaysia daripada pendatang haram mulai 31 Ogos ini.

"Mereka yang tidak mahu menyerah diri, tiada maaf bagimu, ...kita akan tangkap dan dakwa mereka di mahkamah," katanya ditemui selepas Ops Mega 3.0 di penempatan haram PATI di Bukit Gambang, dekat sini, malam ini.

Dalam operasi di dua lokasi berasingan itu, lebih 80 PATI termasuk empat kanak-kanak berusia dua hingga 60 tahun ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan dan tiada permit kerja.

Mengulas lanjut, Mustafar berkata, majikan yang melindungi PATI juga tidak terkecuali dengan tindakan tegas termasuk pembekuan aset dan akaun.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali pada operasi khas Imigresen di kawasan pembinaan sekitar Jalan Gambang-Kuantan. - Foto Farizul Hafiz Awang

"Adalah menjadi satu kesalahan serius jika mereka menggajikan PATI, kalau hendak bekerja boleh kerana kita mempunyai keperluan tetapi harus ada tadbir urus baik serta permit," katanya.

Mengulas permintaan segelintir pihak yang mahu operasi memburu PATI menerusi Ops Mega 3.0 'diperlahankan', beliau berkata, pihaknya tidak akan memperlahankan operasinya sebaliknya terus giat memburu pendatang haram.

"Kita tidak mahu berkompromi pendatang haram dan saya hendak tegaskan yang Jabatan Imigresen akan meneruskan operasi ini seperti biasa, sejak 1 Julai lalu kira-kira 3,000 PATI sudah ditangkap," katanya.

Dalam pada itu, Mustafar meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) meneliti penempatan PATI di seluruh negara yang dilihat tidak kondusif termasuk dari segi kebersihan dan memberi ancaman kepada penduduk tempatan.

"Seperti dapat kita lihat hari ini penempatan PATI terletak berhampiran taman perumahan penduduk tempatan, kebersihannya boleh dipersoalkan kerana tiada sistem pembuangan sampah, tandas dan pengaliran yang baik.

"PBT harus melihatnya dan kalau boleh robohkannya, majikan pula kena sedia penempatan yang teratur," katanya.

Berita Harian X