Sabtu, 21 Julai 2018 | 6:29pm
Ketua Pakar Ekonomi Penyelidikan Pembangunan Industri Kewangan Malaysia Bhd (MIDF), Dr Kamaruddin Mohd Nor. - Foto Abdullah Yusof

Nilai ambang penentu kos sara hidup

KUALA LUMPUR: Pertimbangan untuk menentukan nilai ambang Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) penting bagi memastikan wujud keseimbangan antara pendapatan kerajaan dan kos sara hidup rakyat.

Ketua Pakar Ekonomi Penyelidikan Pembangunan Industri Kewangan Malaysia Bhd (MIDF), Dr Kamaruddin Mohd Nor, berkata sentimen pengguna ketika ini adalah nilai ambang yang dicadangkan dan pelaksanaan cukai satu peringkat menerusi SST diharap membantu mengurangkan bebanan kos sara hidup.

Katanya, hasrat berkenaan seiring matlamat kerajaan memansuhkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan mengembalikan SST demi memulangkan semula kuasa membeli kepada rakyat.

"Bagaimanapun, skop regim percukaian SST dijangka lebih meluas berbanding pelaksanaan sebelum ini, sekali gus berupaya meningkatkan pendapatan negara tetapi mencetuskan impak kepada kos sara hidup rakyat," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau mengulas penentuan nilai ambang SST yang sehingga kini belum dimuktamadkan kerajaan bagi memberi laluan kepada maklum balas daripada orang ramai, meskipun Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengesyorkan ia ditetapkan pada kadar RM500,000 setahun.

JKDM turut memaparkan senarai pengecualian SST, termasuk beberapa barangan mahal seperti kapal terbang, kapal mewah, feri penumpang, helikopter, kapal angkasa dan peralatan luncur salji, sekali gus mengundang kritikan pelbagai pihak yang menyifatkan ia tidak selari hasrat mengurangkan bebanan kos hidup majoriti rakyat sebaliknya menguntungkan golongan kaya.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, ketika sidang Dewan Rakyat, kelmarin dilaporkan berkata, SST hanya merangkumi 38 peratus daripada kumpulan barangan Indeks Harga Pengguna (IHP), berbanding 60 peratus mengikut GST.

Kamaruddin berkata, nilai ambang RM500,000 bagi SST seperti disyorkan JKDM adalah sama dengan pelaksanaan GST, namun ia bakal memberi impak berbeza terhadap kos sara hidup rakyat dan penjanaan pendapatan kerajaan.

Selain itu, katanya, kesan perubahan harga barang dan perkhidmatan bukan hanya disebabkan cukai, sebaliknya merangkumi beberapa faktor lain yang segelintir daripadanya di luar kawalan rejim percukaian.

"Kos lain seperti sumber bahan mentah sama ada tempatan atau import, kadar tukaran mata wang asing, kadar upah dan lokasi perniagaan juga menyumbang kepada perubahan harga barang serta perkhidmatan di pasaran," katanya.

Berita Harian X