Sabtu, 21 Julai 2018 | 6:51pm

TNB bagi amaran abaikan emel palsu

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Berhad (TNB) meminta orang ramai supaya berwaspada apabila menerima emel yang meminta pelanggan mengemaskini akaun dengan menggunakan nama dan logo agensi itu.

TNB dalam satu kenyataan berkata, pihak mereka tidak pernah mengeluarkan arahan atau menghantar emel kepada pelanggan untuk berbuat demikian dan meminta orang ramai supaya mengabaikannya.

"Kami ingin memaklumkan bahawa emel yang disebarkan untuk mengemaskini akaun seperti di dalam gambar bukanlah daripada pihak Tenaga Nasional Berhad.

"Kami berharap orang ramai mengabaikan serta tidak mengikut arahan di dalam emel palsu terbabit," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Antara kandungan emel palsu berkenaan menyatakan, "Sebagai sebahagian daripada langkah keselamatan kami, TNB sentiasa mengemaskini semua akaun pada sistem pangkalan data agensi kami.

"Kami tidak mengemaskini akaun emel anda dan oleh itu kami akan menutup akaun emel anda untuk peningkatan web.

"Sila sahkan akaun anda dengan mengemaskini butiran anda segera kerana sistem memerlukan pengesahan akaun untuk kemas kini.

"Untuk menghalang gangguan dengan perkhidmatan emel anda, sila ambil beberapa saat untuk mengemaskini akaun anda dengan mengisi borang pengesahan dan kemas kini dengan segera," menurut emel yang disahkan palsu oleh pihak TNB itu.

Berita Harian X