Ahad, 22 Julai 2018 | 4:39pm
MENTERI Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. - Foto BERNAMA
MENTERI Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. - Foto BERNAMA

Kanvas Belia TN50 diteruskan

BANGI: Kanvas Belia Transformasi Nasional 2050 (TN50) diilhamkan pentadbiran terdahulu ke arah membentuk wawasan Malaysia baharu untuk tempoh 30 tahun akan datang, bakal diteruskan mengikut perancangan kerajaan sedia ada.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, kerajaan dalam proses mengambil alih pandangan berkenaan untuk diterjemahkan menjadi dasar bagi memperkasa hasrat golongan terbabit.

"Kita ada Kanvas TN50 yang berkait rapat dengan aspirasi orang muda bagaimana membentuk Malaysia pada masa akan datang.

"Ada banyak cadangan dan inspirasi terkandung dalam Kanvas TN50, maka perkara itu akan dijawab di Parlimen," katanya pada sidang media selepas Majlis Konvokesyen Belia Mahir kelima Majlis Belia Malaysia (MBM) sempena sambutan tujuh dekad MBM di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha KBS, Datuk Lokman Hakim Ali dan Presiden MBM, Mua'ammar Ghadafi Jamal.

Syed Saddiq berkata, kerajaan komited terhadap usaha memartabatkan golongan belia dalam setiap aspek kehidupan.

Kanvas Belia TN50 adalah cetusan idea kerajaan Barisan Nasional (BN) sebagai platform curahan aspirasi lebih dua juta anak muda ke arah membentuk wawasan Malaysia baharu untuk tempoh 30 tahun akan datang.

Aspirasi yang dimuatkan dalam Kanvas Belia TN50 itu adalah hasil analisis terhadap lebih 60,000 aspirasi dan dikumpul sejak setahun lalu menerusi 135 dialog pelbagai peringkat.

Berdasarkan laporan setebal 472 halaman, enam tema utama diketengahkan, iaitu global, kesaksamaan, mampan, bersatu-padu, bertanggungjawab dan prihatin.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X