Isnin, 23 Julai 2018 | 5:29pm

Khalid Salleh, kehilangan besar dunia sastera, seni

KUALA LUMPUR: Pemergian penyair, pengarang, dramatis dan pelakon, Khalid Salleh, 70 atau lebih dikenali sebagai Wak Khalid dianggap kehilangan besar dalam dunia sastera serta seni.

Khalid meninggal dunia di Pusat Perubatan Ampang Puteri dekat sini, kira-kira jam 3.20 petang ini seperti disahkan Bahagian Komunikasi Korporat Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM).

Selain dikenali sebagai pelakon hingga pernah dinobat sebagai Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik ke-43 di Taipei pada 1998 menerusi filem Jogho, Khalid juga terkenal sebagai pengarang.

Tiga karyanya diterbitkan ITBM, iaitu Pandirnya Si Pandir, Kalau Aku Jadi PM dan Kena Main, manakala buku politiknya Melayu Hilang di Dunia diterbitkan sendiri.

Ketua Pegawai Eksekutif ITBM, Mohd Khair Ngadiron, berkata pemergian Wak Khalid sangat dirasai kerana keperibadiannya yang mulia dan semangat kesenimanan yang tulen.

"ITBM pernah bekerjasama dengan beliau menerusi program Dari Stesen ke Stesen: Monolog Jual Ubat yang dipentaskan di lapan stesen kereta api utama tanah air.

"Malah beliau kerap bersama kami termasuk ketika membawa monolog berkenaan ke Indonesia. Beliau seorang yang sederhana dan melakukannya tanpa bayaran, sebaliknya dengan hasrat untuk mengeratkan hubungan antara Malaysia dengan Indonesia," katanya.

Mohd Khair berkata, Wak Khalid ialah seniman rakyat dan wira sebenar.

Sementara itu, Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Dr Mohamad Saleeh Rahamad menyifatkan pemergian Wak Khalid sebagai kehilangan yang besar dalam perjuangan memartabatkan bahasa dan sastera.

"Beliau sangat jujur dan prinsip perjuangannya sangat jelas. Beliau kerap turun padang untuk bersama-sama dalam kegiatan sastera.

"Beliau juga sensitif dengan perkembangan semasa dan tidak takut untuk menyebut kepincangan politik yang dilihatnya," katanya yang menyifatkan buku tulisan Khalid seharusnya dibaca oleh generasi muda sebagai panduan.

Bagi pengarang dan penulis skrip drama pentas serta televisyen, Siti Jasmina Ibrahim yang pernah bekerjasama dengan Khalid untuk pementasan teater Jejak Pahlawan pada 1998 menyifatkan Wak Khalid sebagai seniman yang dekat dengan rakyat.

"Wak yang saya kenal sangat mahir dalam bidangnya. Beliau tahu apa yang dibuat dan dalam pemilihan pelakon, beliau teliti dan tahu kelebihan setiap pelakon.

"Karya dan diri beliau sendiri sebenarnya sangat dekat dengan alam," katanya.

Keadaan kesihatan Khalid yang semakin merosot diketahui sejak awal tahun ini tetapi Khalid ketika itu meminta berita mengenai keadaan kesihatannya tidak dilaporkan.

KHALID Salleh atau lebih dikenali sebagai Wak Khalid. - Foto Nik Hariff Hassan
Berita Harian X