Selasa, 24 Julai 2018 | 11:22am
SEBAHAGIAN mahasiswa pada perhimpunan membantah UEC di Kuala Lumpur pada Sabtu lalu. - Foto Saifullizan Tamadi

Jangan terburu-buru iktiraf UEC - ISMA

KUALA LUMPUR: Kerajaan Perak tidak sepatutnya mengambil tindakan terburu-buru bagi mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) kerana ia akan mengganggu sistem pendidikan aliran perdana.

Setiausaha Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Ipoh, Rosidi Shahari, berkata meskipun pengiktirafan UEC dijanjikan dalam Manifesto PH tetapi ia perlu dilakukan sejajar kerangka negara ini.

"Tidak wajar menggunakan alasan supaya tidak melukakan kaum lain apabila ada pihak yang menyuarakan bantahan bahawa pengiktirafan UEC mengganggu sistem pendidikan perdana dan berhak untuk tidak dipersetujui.

"Perkara yang perlu diambil perhatian oleh kerajaan ialah sensitiviti suara majoriti di negara ini, iaitu orang Islam dan Melayu," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Rosidi berkata, kerajaan negeri perlu mengambil kira pandangan dan pendapat tokoh pendidikan kebangsaan yang jelas menolak pengiktirafan UEC.

Ini, katanya, sejajar titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang mengharapkan apa saja tindakan kerajaan mestilah tidak menimbulkan sebarang perpecahan.

Berita Harian X