Rabu, 25 Julai 2018 | 10:55am
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob. - Foto Syamsi Suhaimi

Kelantan harap hubungan dengan Pusat lebih erat

KOTA BHARU: Kerajaan PAS Kelantan mengharapkan hubungan dengan Kerajaan Persekutuan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad semakin erat demi kebaikan rakyat.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, berkata kerajaan negeri menjalinkan hubungan baik dengan mana-mana pihak yang diberi mandat mentadbir negara di bawah semangat federalisme.

Katanya, hubungan kerajaan negeri dan kerajaan Pusat berdasarkan yang ditentukan Perlembagaan dan apa saja yang dibangkitkan adalah mengikut lunas yang betul.

"Amalan lazim yang kita buat selepas selesai Pilihan Raya Umum (PRU), kita akan mengunjungi Perdana Menteri bagi menyatakan hubungan kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan yang perlu dihormati.

"Begitu juga selepas PRU-14 baru-baru ini, kita juga mengunjungi Perdana Menteri bagi menyatakan perkara sama dan hak serta kewajipan.

"Dalam pertemuan itu, kita nyatakan perkara tersirat supaya hak rakyat Kelantan terus terbela terutama dalam perkara yang sudah diputuskan oleh Kerajaan Persekutuan sebelum ini.

"Insya-Allah hubungan ini dapat diwujudkan dengan sebaik-baiknya di bawah jabatan bersama seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS)," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan Datuk Mohd Adhan Kechik (BN-Bukit Bunga) yang mahu tahu apakah hubungan kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan bertambah baik selepas berlaku perubahan pucuk pimpinan Persekutuan pada PRU-14.

Sementara itu, ketika menjawab soalan tambahan dikemukakan Mohd Adhan susulan kenyataan Dr Mahathir yang mendakwa PAS dan Barisan Nasional (BN) kini seperti adik-beradik berikutan hubungan baik, Ahmad berkata tidak berbangkit isu adik beradik kerana hubungan terjalin mengikut lunas federalisme.

"Kerajaan Persekutuan wujud kerana adanya negeri. Perkara paling penting adalah hak rakyat kita dibela. Mana-mana Kerajaan Persekutuan yang memerintah ada tanggungjawab yang diklasifikasikan dan kita mendesak Kerajaan Persekutuan menyempurnakan hak kita," katanya.

Berita Harian X