Rabu, 25 Julai 2018 | 1:05pm
PRESIDEN dan Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Pemantauan dan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (FOMEMA), Datuk Mohd Hatar Ismail berucap pada Program Bersama Majikan FOMEMA 2018 di Setia Tropika, Johor Bahru, hari ini. - Foto Mohd Azren Jamaludin

Kaji semula kadar pemeriksaan kesihatan pekerja asing

JOHOR BAHRU: Kerajaan dicadang menimbang dan mengkaji semula kadar pemeriksaan saringan kesihatan pekerja asing yang berada di negara ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Pemantauan dan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (FOMEMA), Datuk Mohd Hatar Ismail, berkata kadar berkenaan tidak berubah sejak ia ditetapkan pada 1997.

Katanya, sehingga kini, kadar itu membabitkan RM180 bagi pekerja lelaki, manakala RM190 pekerja wanita termasuk ujian kehamilan.

"FOMEMA sudah mengemukakan permohonan mengenai perkara itu April tahun lalu, begitu juga doktor panel yang berkhidmat di bawah kita dan makmal turut mohon, namun masih belum ada jawapan dari kerajaan.

"Kadar itu wajar dikaji semula kerana faktor lain perlu dilihat termasuk peningkatan kos pusat imbasan x-ray yang turut memerlukan pekerja berkemahiran menguruskannya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Program Bersama Majikan FOMEMA 2018 di Setia Tropika, di sini, hari ini.

Mohd Hatar berkata, pihaknya berharap kerajaan mengkaji semula permohonan berkenaan supaya ia memberi impak positif kepada pihak berkaitan.

Pada majlis itu, katanya, seramai 300 peserta menghadiri sesi taklimat secara menyeluruh mengenai garis panduan pemeriksaan perubatan pekerja asing FOMEMA termasuk maklumat format baharu dan beberapa proses penambahbaikan.

Beliau berkata, penganjuran kali kedua program itu bertujuan memperkasakan hubungan interaksi FOMEMA bersama majikan, mengoptimumkan dan menambah baik proses operasi pemeriksaan perubatan FOMEMA.

"FOMEMA komited dengan hasratnya untuk berinteraksi secara dua hala bersama majikan termasuk memberi pemahaman yang lebih baik mengenai program pemeriksaan perubatan FOMEMA," katanya.

Berita Harian X