Rabu, 25 Julai 2018 | 2:15pm
MENTERI Luar Negeri Datuk Saifuddin Abdullah menjawab soalan media di luar Dewan Rakyat pada Persidangan Dewan Rakyat Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Kepentingan negara jadi keutamaan

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengutamakan kepentingan negara dalam menentukan pendirian dan tindakan berkaitan isu Laut China Selatan.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, kerajaan juga tidak sesekali berkrompromi di dalam perkara yang boleh menjejaskan keutuhan wilayah, kedaulatan dan kepentingan negara.

Katanya, isu di Laut China Selatan adalah isu strategik yang penting kepada negara.

"Isu ini perlu dikendalikan secara menyeluruh dan setiap tindakan adalah berdasarkan pertimbangan yang komprehensif," katanya menjawab soalan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (BN-UMNO Beluran) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Ronald dalam soalannya mahu mengetahui pendirian kerajaan berhubung tindakan China menubuhkan pangkalan tentera dilengkapi sistem peluru berpandu di Kepulauan Spratly Laut China Selatan.

Saifuddin berkata, pendirian kerajaan berhubung isu berkenaan jelas iaitu semua pihak perlu memastikan keamanan, keselamatan dan kestabilan serta kebebasan pelayaran dan penerbangan.

Katanya, semua pihak juga perlu mengelak tindakan yang boleh menimbulkan ketegangan dan bersifat provokatif serta tindakan berkaitan ketenteraan.

"Semua tuntutan dan penyelesaiannya hendaklah berdasarkan undang-undang antarabangsa termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Mengenai Laut 1982," katanya.

Mengenai tuntutan bertindih di Laut China Selatan, katanya Malaysia dan negara Asean lain seperti Brunei, Filipina dan Vietnam tidak mengiktiraf tuntutan China kerana tidak selaras dengan undang-undang antarabangsa.

"Bagi memastikan keamanan, kestabilan dan mengelakkan ketegangan di Laut China Selatan, negara ASEAN menandatangani Deklarasi Tatalaku Pihak Berkepentingan di Laut China Selatan (DOC).

"Susulan insiden membabitkan China dengan Filipina dan Vietnam serta tindak tanduk China yang semakin agresif di Laut China Selatan dan banyak pihak merasakan DOC tidak lagi mampu memastikan keamanan, kestabilan dan keselamatan di kawasan itu maka dipersetujui diwujudkan 'instrumen' yang bersifat mengikat," katanya

Justeru, beliau berkata, negara Asean dan China sedang dalam proses mewujudkan Kod Tatalaku (COC) di Laut China Selatan, namun ia mengambil masa untuk dimuktamadkan.

Berita Harian X