Rabu, 25 Julai 2018 | 3:08pm
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong menjawab soalan media di luar Dewan Rakyat pada Persidangan Dewan Rakyat Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen. - Foto Mohd Yusni Ariffin

CEP lebih 100 hari?

KUALA LUMPUR: Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) tidak semestinya dibubarkan selepas 100 hari penubuhannya.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, ketika ditanya sama ada wujud keperluan CEP dilanjutkan melangkau 100 hari.

Beliau berkata, keputusan mengenainya adalah prerogatif Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Itu terpulang kepada Perdana Menteri. Terima kasih," katanya dalam jawapan ringkas kepada wartawan di lobi Parlimen hari ini.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, menyatakan CEP hanya akan berfungsi selama 100 hari.

Saifuddin berkata, CEP dibentuk oleh Perdana Menteri berdasarkan terma rujukan spesifik.

"Terpulang kepada Perdana Menteri dan Kabinet mengambil tindakan terhadap segala cadangan yang dikemukakan," katanya.

Saifuddin diminta mengulas kenyataan Ahli Parlimen pembangkang supaya CEP dibubarkan kerana mendakwa ia menghalang fungsi Kabinet dan badan kehakiman tanpa menjadi badan undang-undang.

Baru-baru ini, Pengerusi CEP, Tun Daim Zainuddin, dilaporkan ke China untuk berunding sebelum lawatan rasmi Dr Mahathir ke republik berkenaan.

Keadaan itu dilihat melangkaui tanggungjawab CEP kerana Malaysia mempunyai Menteri Luar.

Saifuddin bagaimanapun tidak melihat perkara itu sebagai kesalahan.

"Bukan satu kesalahan untuk Perdana Menteri menghantar utusan khas ke China, dengan terma rujukan khusus yang melapor terus kepadanya," katanya.

Beliau berkata, Wisma Putra bertemu dengan Daim sebelum dan selepas beliau ke China, selain berkongsi laporan mengenainya.

"Aspek paling utama ialah hubungan antara Malaysia dan China. Kita perlu teruskan jika mahu memupuk hubungan baik dengan China.

"Kami juga mahu mengekalkan hubungan dan memperbaikinya, melihat beberapa kontrak yang ditandatangani dengan negara itu," katanya.

Berita Harian X