Rabu, 25 Julai 2018 | 4:56pm
NAIB Presiden PKR, Nurul Izzah (tengah) menyaksikan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan MyPrihatin, Prof Datuk Dr Halimaton Hamdan (kanan) bertukar dokumen dengan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan dan Sosial dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan IJN, Raja Datin Seri Zuraidah Raja Mansur di Institut Jantung Negara. - Foto Aswadi Alias

"Anwar semakin sembuh, akan pulang nanti"

KUALA LUMPUR : Ketua Umum Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjalani pembedahan tulang bahu kanan di Turki akan kembali ke Malaysia dalam masa terdekat.

Anak sulung Anwar yang juga Naib Presiden PKR, Nurul Izzah, bagaimanapun tidak menyatakan bila tarikh kepulangan ayahnya.

"Keadaannya baik dan semakin sembuh. Beliau (Anwar) akan pulang ke Malaysia nanti. Bila? Belum tahu.

"Kesihatan adalah aset. Kita tidak boleh desak orang sakit untuk pulang. Ya, beliau akan kembali ...kami di sini pun merinduinya," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu Nurul Izzah menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) Program MyHeart 3, antara Institut Jantung Negara (IJN) dan Yayasan MyPrihatin.

Pada 13 Julai lalu, Pakar Kardiologi dan Perubatan, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) yang mengiringi Anwar, Prof Datuk Dr Wan Azman Wan Ahmad memaklumkan pemimpin itu selamat menjalani pembedahan tulang belakang dan bahu di Medipol Mega University Hospital, Istanbul.

Anwar dilaporkan stabil dan sedang menjalani proses pemulihan.

Pada 23 Jun lalu, Anwar dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) selepas mengadu sakit di bahu dan bahagian belakang sebaik tiba dari Turki.

Beliau kemudiannya diterbangkan ke negara berkenaan untuk pembedahan susulan.

Berita Harian X