Rabu, 25 Julai 2018 | 6:23pm
Ramkarpal Singh. - Foto BERNAMA

'Malaysian Crook' kecohkan Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR: Tindakan Ramkarpal Singh (PH-DAP Bukit Gelugor) merujuk laporan media antarabangsa yang menyebut bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sebagai 'The Malaysian Crook', mencetuskan kekecohan pada sesi perbahasan pagi di Dewan Rakyat, hari ini.

Beberapa Ahli Parlimen pembangkang bingkas bangun membantah kenyataan Ramkarpal dan meminta beliau menarik balik istilah terbabit.

Datuk Tajuddin Abdul Rahman (BN-UMNO Pasir Salak) bangun meminta laluan untuk menyatakan bantahan tetapi tidak diberi oleh Ramkarpal yang mendakwa masanya untuk berbahas adalah terhad.

Tajuddin kemudian berkata: "Saya ingin mencelah je... tarik balik kenyataan itu. Ada berani? Berani ke tidak?"

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Datuk Rashid Hasnon, kemudian meminta Ramkarpal meneruskan perbahasan.

Bagaimanapun, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-UMNO Bera) pula bangun mengemukakan Peraturan Mesyuarat meminta Ramkarpal menarik balik perkataan 'Malaysian Crook' yang dianggap sangkaan jahat kepada Najib (BN-UMNO Pekan).

Ramkarpal berkeras enggan berbuat demikian atas alasan ia dilaporkan media antarabangsa, sebelum dibidas Tajuddin: "Itu media antarabangsa kenapa nak ikut."

RSN Rayer (PH-DAP Jelutong) turut bangun meminta Tajuddin tidak mengganggu perbahasan sebelum Rashid mengarahkan semua Ahli Parlimen duduk bagi membolehkan Ramkarpal meneruskan perbahasan.

Bagaimanapun, Tajudin sekali lagi bangun dan mendakwa tindakan Ramkarpal melanggar peraturan Dewan Rakyat manakala kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sudah dibawa ke mahkamah.

Ramkarpal meneruskan perbahasan dan mencabar Najib menjawab semua tuduhan dilemparkan berkaitan isu 1MDB di Dewan Rakyat, termasuk penularan surat kepada Agensi Risikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat.

Tindakan Ramkarpal itu sekali lagi dibantah Ahli Parlimen pembangkang dengan Tajuddin mencelah ia hanya andaian.

Bagaimanapun, Ramkarpal berkata, jika benar Najib mengarahkan pegawainya menulis surat kepada CIA, ia adalah kesalahan mengikut Kanun Keseksaan kerana menjejaskan demokrasi berparlimen.

Berita Harian X