Khamis, 26 Julai 2018 | 1:10pm
MENTERI Kewangan, Lim Guan Eng. - Foto Mohaamd Shahril Badri Saali

PM tentukan hala tuju Khazanah

KUALA LUMPUR: Keputusan sama ada peletakan jawatan semua pengarah Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) diterima atau sebaliknya, akan ditentukan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata Perdana Menteri memiliki prerogatif untuk menentukan hala tuju Khazanah, termasuk melantik pengarah baharu atau mengekalkan pengurusan sedia ada.

"Perdana Menteri akan membuat keputusan terakhir dan kita serahkan pada kebijaksanaannya," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Guan Eng diminta mengulas peletakan jawatan semua pengarah termasuk Pengarah Urusan, Tan Sri Azman Mokhtar, dan Pengerusi Eksekutif, Tan Sri Nor Md Yusof, bagi memberi laluan kepada kerajaan baharu memutuskan kepimpinan serta hala tuju Khazanah.

Pengarah lain membabitkan Datuk Seri Nazir Razak, Datuk Dr Nirmala Menon, Tan Sri Mohamed Azman Yahya, Datuk Mohammed Azlan Hashim, Yeo Kar Peng, Tan Sri Andrew Sheng Len Tao dan Raja Tan Sri Arshad Raja Uda.

Keputusan itu dibuat beberapa minggu selepas Dr Mahathir mengkritik Khazanah yang didakwa menyimpang daripada tujuan asal dalam membantu Bumiputera.

Guan Eng berkata, keputusan peletakan jawatan itu adalah bagi memberi peluang Perdana Menteri membuat keputusan mengenai masa depan Khazanah.

"Itu keputusan mereka, mungkin mereka ingin memberi peluang kepada Perdana Menteri membuat keputusan mengenai hala tuju seterusnya, sama ada pengarah yang dilantik kerajaan lama dikekalkan atau melantik pengarah baharu.

"Itu adalah langkah bijaksana untuk memberi pilihan kepada Perdana Menteri membuat keputusan," katanya.

Ditanya sama ada pelantikan dan peletakan jawatan pengarah Khazanah dibincang oleh jemaah Menteri, Guan Eng berkata, ia tidak berbangkit dalam mesyuarat Kabinet semalam.

"Terpulang kepada Perdana Menteri untuk memutuskan langkah seterusnya," katanya.

Berita Harian X