Khamis, 26 Julai 2018 | 1:39pm
MENTERI Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob memotong riben perasmian Pusat Jualan Kelantan Gold Trade Sdn Bhd yang juga dikenali Dinar Dirham (DnD) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) ketika hadir hadir di Majlis Penyerahan Infaq : Asnaf dan Anak Yatim dan Penukaran Wafer 1Gram Program Tabungan di Masjid Kota Darul Naim. - Foto Zaman Huri Isa

Kelantan tolak UEC

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan menolak pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) sebagai kelayakan menyertai perkhidmatan awam, demi mengekalkan kedaulatan bahasa dan bangsa Melayu.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, berkata malah pihaknya turut menyokong penuh kenyataan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang tidak bersetuju UEC diiktiraf kerana hanya akan merosakkan Dasar Pendidikan Kebangsaan.

"Kita mesti berhati-hati kerana ia membabitkan ketuanan Melayu dan bahasa Melayu. Bagus untuk pihak tertentu memberi pandangan seperti ini (menolak UEC) sebelum perkara itu berlaku.

"Semoga kedaulatan bahasa dan bangsa Melayu dikekalkan. Pengiktirafan UEC dilihat membolehkan seseorang mudah berada dalam perkhidmatan awam tanpa memiliki kemahiran dan kebudayaan bahasa Melayu yang baik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Infaq: Asnaf dan Anak Yatim di Masjid Kota Darul Naim, di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan kenyataan Harussani yang tidak bersetuju dengan pandangan Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu mahu mengiktiraf UEC.

Harussani dipetik sebagai berkata, dasar pendidikan sedia ada sudah terbukti mampu memacu pembangunan Malaysia ke arah kebaikan selaras sistem pendidikan berasaskan perpaduan kaum dan pembinaan negara bangsa.

"Mutakhir ini, bidang pendidikan yang diharmonikan dengan perpaduan kaum, sedang dirosakkan oleh desakan pihak tertentu semakin berani menggugat Dasar Pendidikan Kebangsaan.

"Bahasa Melayu sudah diiktiraf secara jelas sebagai bahasa kebangsaan sebagaimana diperuntukkan dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan," kata Harussani.

UEC dikeluarkan oleh sekolah persendirian Cina yang sukatan pelajarannya diambil dari Taiwan dan tidak selari silibus ditetapkan Kementerian Pendidikan.

Terdahulu, Ahmad Faizal dilaporkan sebagai berkata, kerajaan Perak sedia mengiktiraf UEC sebagai kelayakan menyertai perkhidmatan awam dengan syarat pemohon memperoleh kredit dalam Bahasa Melayu, selaras janji dalam Manifesto Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Berita Harian X