Jumaat, 27 Julai 2018 | 6:34pm
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Khazanah kini boleh distruktur semula - PM

PUTRAJAYA: Peletakan jawatan Pengarah Urusan dan Lembaga Pengarah Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) membolehkan kerajaan menstruktur semula syarikat dana nasional berkenaan.

Pejabat Perdana Menteri, dalam kenyataan hari ini, menyatakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, menerima tawaran peletakan jawatan semua ahli lembaga pengarah kerana "langkah ini membolehkan kerajaan menstruktur semula syarikat tersebut" berdasarkan polisi pentadbiran baharu.

Dr Mahathir turut menegaskan bahawa Perdana Menteri mempunyai hak untuk melantik ahli lembaga pengarah yang baharu atau memindahkan mereka ke syarikat lain atau pun mengekalkan sesetengah mereka untuk kesinambungan perjalanan syarikat.

Beliau menegaskan kerajaan bukan dalam proses membalas dendam dan tidak menganggap semua terbabit dalam salah laku tetapi pentadbirannya tidak boleh menerima kesalahan yang jelas dan dibiarkan berterusan.

"Peletakan jawatan beramai-ramai ini akan memberi ruang untuk menyusun semula Khazanah kerana polisi kami adalah berlainan daripada pentadbiran sebelum ini. Kami percaya adalah bagus untuk memberi gaji yang tinggi tetapi kita tidak boleh sentiasa mengikut nilai ukuran pihak swasta.

"Kita mahu menumpu kepada ganjaran di dalam bentuk bonus yang berlandaskan kepada prestasi kerana ada sesetengah syarikat yang beroperasi pada tahap yang tidak memuaskan," katanya.

Mengenai laporan yang mengatakan RM2 bilion terhapus daripada Bursa Malaysia, Dr Mahathir menekankan bahawa jumlah kerugian atas kertas itu tidaklah sebesar bebanan hutang RM1 trilion yang diwarisi dan sekarang terpaksa dihadapi dan ditanggung oleh kerajaan.

"Jumlah hutang RM1 trilion itu adalah nyata dan benar, dan jumlah yang perlu dibayar tidak boleh dielakkan. Sebahagian besar daripada jumlah 'pelaburan' yang dilakukan oleh kerajaan terdahulu belum dapat diperoleh semula kerana kita tidak tahu di mana wang itu pergi," katanya.

Mengenai kenyataan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, terhadap polisi kerajaan Pakatan Harapan seperti 'berundur ke era masa lalu', Dr Mahathir mempersoalkan jika rakyat mahu kembali kepada era pentadbiran Najib.

"Era masa lalu adalah era di mana Malaysia terkenal sebagai Harimau Asia. Adakah beliau (Najib) mahu membawa rakyat ke era di mana negara ini dikenali sebagai kleptokrasi dan diketuai oleh seorang kleptokrat?" soal Dr Mahathir.

Berita Harian X