X
Jumaat, 27 Julai 2018 | 7:04pm
TAN Sri Annuar Musa. - Foto Azhar Ramli
TAN Sri Annuar Musa. - Foto Azhar Ramli

MARA: Annuar diminta bersabar

KUALA LUMPUR: Isu Majlis Amanah Rakyat (MARA) tidak sepatutnya dipolitikkan kerana ia masih belum diputuskan selain tiada pengumuman rasmi daripada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut Menteri Pembangunan Usahawan, Redzuan Yusof, sehingga jam 5 petang tadi, pihaknya belum mendapat sebarang maklumat rasmi mengenai pemisahan MARA seperti yang ditularkan di laman sosial.

"Ia belum diputuskan dan setahu saya perkara itu masih sedang diperhalusi kerana ia membabitkan Akta Parlimen.

"MARA adalah satu ekosistem yang sangat kompleks dan dalam konteks pembangunan modal insan, peranan utamanya adalah membantu masyarakat Bumiputera luar bandar.

"Jika perlu penambahbaikan, ia boleh disemak semula," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut Redzuan, semua pihak perlu menunggu pengumuman rasmi daripada Perdana Menteri dan tidak tergesa-gesa memberi kenyataan atau maklum balas yang boleh mengeruhkan lagi keadaan.

Beliau mengulas mengenai dakwaan Setiausaha Agung UMNO selaku bekas Pengerusi MARA, Tan Sri Annuar Musa, bahawa badan itu akan dipecah dan dibahagikan kepada beberapa kementerian.

Melalui status akaun Twitter miliknya malam tadi, Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh, memaklumkan MARA akan "dibahagi-bahagikan" kepada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Kementerian Pembangunan Usahawan (KPU), Kementerian Pendidikan (KPM), Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Rina Harun, ketika dihubungi, turut menasihatkan Annuar supaya bersabar dan menunggu pengumuman rasmi Perdana Menteri.

Kata Rina, Annuar juga tidak seharusnya tergesa-gesa dan membuat kesimpulan sendiri.

"Ia adalah prerogatif Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri untuk menentukan komposisi pelbagai agensi di bawah kementerian.

"Kami akan mematuhi keputusan yang dibuat oleh Perdana Menteri yang akan dilakukan selepas mengambil kira pelbagai isu dan aspek.

"Apa pun keputusan yang dibuat oleh Perdana Menteri pastinya menjadi salah satu yang memberi kepentingan kepada kesejahteraan rakyat," katanya kepada NSTP.

Berita Harian X