Sabtu, 28 Julai 2018 | 10:35am
MUSA Hassan. - Foto Amirudin Sahib
MUSA Hassan. - Foto Amirudin Sahib

Ambil iktibar kesan pemansuhan ISA - Musa Hassan

KUALA LUMPUR: Kesan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 harus jadi pengajaran dan dipertimbangkan kerajaan sekarang sebelum memansuhkan undang-undang pencegahan lain seumpamanya.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mengingatkan, kerajaan mesti meneliti kesannya sebelum bertindak memansuhkan undang-undang seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA), Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) dan Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA).

"Kita sudah mansuh ISA dan Ordinan Darurat (EO), pemansuhan itu menyebabkan peningkatan ketara dalam kes jenayah berat khasnya yang membabitkan kumpulan kongsi gelap berebut kawasan masing-masing.

"Saya tidak setuju kalau ia dimansuhkan, kalau boleh kaji dan teliti dulu...tanpa SOSMA, POCA dan POTA kita tidak mampu mengekang kegiatan pengganas yang terlatih seperti kumpulan Daesh, kumpulan penjenayah terancang yang bersenjata lengkap dan ganas," katanya dalam temu ramah eksklusif bersama BERNAMA, di sini.

Pada 22 Julai lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan akan memansuhkan undang-undang yang banyak menindas rakyat khususnya SOSMA selain pemansuhan POCA dan POTA.

Musa menegaskan, undang-undang pencegahan yang tegas perlu senantiasa ada untuk melindungi negara dan rakyat, sekali gus menyekat pergerakan kumpulan ekstremis, kumpulan militan dan kumpulan jenayah terancang dewasa ini.

Katanya, pencerobohan di Lahat Datu oleh kumpulan dari Mindano diketuai adik Sultan Jamalul Kiram III, Agbimuddin Kiram, di Felda Sahabat Kampung Tanduo, pada 9 Februari 2013 adalah pengajaran bahawa ancaman terhadap kedaulatan negara boleh berlaku bila-bila dan harus dikekang daripada awal lagi.

Krisis yang mengorbankan sembilan anggota keselamatan dan 54 pengganas, selain kira-kira 100 orang ditahan, mungkin tidak mampu ditangani dengan mudah jika negara tidak mempunyai undang-undang khas seperti SOSMA, kata Musa.

Beliau menekankan, undang-undang untuk mengekang ancaman keselamatan amat penting kepada negara seperti Malaysia yang masyarakatnya berbilang kaum dan agama.

Mengulas dakwaan mengatakan SOSMA menjejaskan hak asasi manusia, Musa berkata perkara berkenaan tidak benar sama sekali kerana mereka yang ditangkap di bawah undang-undang itu berhak membela diri.

Di bawah SOSMA seseorang pegawai polis boleh, tanpa waran, menangkap dan menahan mana-mana tahanan selama 24 jam saja dan melanjutkan tempoh penahanan tidak lebih 28 hari bagi tujuan penyiasatan.

"Apabila siasatan dijalankan dan mempunyai keterangan kes, maka orang yang ditangkap perlu dituduh di mahkamah dan sekiranya ada keterangan tetapi tiada bukti maka individu yang ditahan itu boleh dibebaskan.

"Sebagai contoh, individu yang terbabit dalam kesalahan di bawah SOSMA, sama ada disiasat mengikut kesalahan di bawah Bab VIA, VIB, membabitkan kegiatan pengganas atau pemerdagangan orang boleh dipakaikan Peranti Pemantauan Elektronik (EMD) pada kaki mereka untuk tujuan pemantauan," katanya.

Tambah beliau, mana-mana suspek yang ditahan perlu dimaklumkan kepada waris kadim iaitu anggota keluarga terdekat dan membenarkan suspek yang ditahan berunding dengan pengamal undang-undang pilihannya untuk pembelaan.

"Di bawah SOSMA, tahanan masih ada peluang membela diri dan ia tidak seteruk Patriot Act di Amerika Syarikat di mana kumpulan pengganas yang ditahan serata dunia termasuk dua rakyat Malaysia didakwa terbabit dalam gerakan Al-Qaeda ditahan tanpa peluang membela diri di Pusat Tahanan Guantanamo Bay.

"SOSMA juga mengurangkan kes-kes seperti gangsterisme, perjudian dan pelacuran di mana polis boleh mengambil langkah pencegahan awal sebelum kegiatan itu menular dengan lebih meluas," katanya.

Musa menjelaskan, SOSMA turut memainkan peranan penting dalam memelihara kedaulatan Yang di-Pertuan Agong, raja-raja Melayu serta kepentingan kaum-kaum yang mungkin tergugat sehingga boleh menimbulkan ancaman rusuhan kaum dan agama.

Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 dimansuhkan 31 Julai 2012 dan diganti dengan SOSMA yang diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 17 April, 2012, diberikan perkenan Diraja pada 18 Jun 2012, dan diwartakan pada 22 Jun 2012.

Sebelum ini, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, E8 Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata undang-undang berkaitan keganasan negara ini adalah antara yang terbaik.

Beliau dipetik berkata, akta berkenaan banyak membantu mengekang kegiatan kumpulan Daesh termasuk mematahkan sejumlah 23 cubaan mereka melancarkan serangan di Malaysia sejak 2013. - BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X