Sabtu, 28 Julai 2018 | 2:56pm
Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah membalas tabik hormat ketika perbarisan pada majlis penyerahan tugas Pengerusi Kebangsaan Bulan Sabit Merah Malaysia di Ibu Pejabat Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia. - Foto Asyraf Hamzah

Puteri Intan Safinaz dilantik Pengerusi BSMM

KUALA LUMPUR: Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mua'dzam Shah yang baru dilantik sebagai Pengerusi Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) berhasrat merekrut lebih ramai belia untuk menjadi sukarelawan dalam persatuan ini.

Katanya, sejak BSMM ditubuhkan di negara ini tujuh dekad lalu, terdapat 300,000 ahli menyertainya dengan dua pertiga daripadanya adalah golongan belia.

"Kami berhasrat untuk menarik lebih banyak golongan belia menyertai BSMM," katanya pada sidang media selepas majlis pelantikannya sebagai Pengerusi BSMM di sini, hari ini.

Tunku Puteri Intan Safinaz berkata, BSMMkini mempunyai sembilan kampung angkat di Kelantan, Terangganu dan Pahang untuk program bantuan dan dan pemulihan bencana membabitkan 3,335 penduduk.

"Mereka (penduduk terbabit) didedahkan kepada pendekatan Pengurusan Risiko Bencana yang bermaksud harus menjadi modul kebersihan dan kesihatan serta pengurusan dan pembekalan air bersih, khususnya ketika bencana," katanya.

Terdahulu, mengulas mengenai pelantikannya sebagai Pengerusi BSMM, Tunku Puteri Intan Safinaz berkata, beliau amat berbesar hati, lebih-lebih lagi menjadi Pengerusi wanita pertama selepas Mesyuarat Agung BSMM ke-53.

"Saya amat berbesar hati dipilih sebagai pengerusi wanita pertama memimpin BSM. Pelantikan ini selaras dengan perubahan semasa hari ini," katanya.

Katanya, beliau merancang untuk melakukan kunjungan hormat kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tidak lama lagi.

"Saya juga berharap untuk mengadakan pertemuan dengan kementerian lain seperti Kementerian Kesihatan, Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk membabitkan diri dalam program kami pada masa akan datang," katanya.

Berita Harian X