Sabtu, 28 Julai 2018 | 3:01pm

Konsep Pembantu Pelindung kanak-kanak diperkenalkan

KUALA LUMPUR: Kerajaan memperkenalkan konsep Pembantu Pelindung menerusi Akta Kanak-kanak 2001 (Pindaan) 2016 bagi menangani kes penderaan, pengabaian dan pemeliharaan kanak-kanak.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWPKM), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, isu penjagaan keselamatan kanak-kanak tidak boleh dipandang remeh dan tugas melindungi serta menjaga mereka adalah tanggungjawab semua pihak.

Justeru kata beliau, untuk permulaan seramai 249 ahli komuniti sudah dikenal pasti dan akan disaring bagi melaksanakan peranan membantu Pelindung Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Pembantu Pelindung itu akan membantu Pelindung JKM sebagai 'first responder' (maklum balas pertama) dan 'front liner' (barisan hadapan) dalam menangani kes penderaan, pengabaian dan aspek pemeliharaan kanak-kanak.

"Konsep utama Pembantu Pelindung adalah untuk mempercepatkan proses menyelamatkan kanak-kanak yang terancam dan terabai di kawasan komuniti masing-masing selain penggunaan Talian Kasih 15999 untuk melaporkan kes berkaitan.

"Kerajaan komited merangka dan melaksanakan pelbagai program berkaitan kebajikan mahu pun kesejahteraan kanak-kanak, selaras dengan Pelan Tindakan Kanak-kanak Negara, Pelan Tindakan Perlindungan Kanak-Kanak Negara serta Pelan Tindakan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial Kebangsaan ," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan seminar dan Kempen Keselamatan Kanak-kanak (Program 3K) anjuran Yayasan Wanita Islam ( YATI) di ibu negara, hari ini. Hadir sama, Ketua Pengarah JKM, Mohd Fazari Mohd Salleh dan Presiden YATI, Najwa Datuk Abdul Aziz.

Pada majlis yang sama, watak animasi popular, Upin Ipin dilantik sebagai duta kempen Program 3K. Kempen berkenaan turut mendapat kerjasama Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Sementara itu, Mohd Fazari berkata, sehingga kini terdapat seramai 400 Pelindung JKM di seluruh negara dan mereka turut dibantu oleh pegawai agensi terbabit.

Katanya, jika tiada aral, konsep Pembantu Pelindung akan mula dilaksanakan hujung tahun tahun ini selepas melalui proses tapisan dan perundangan yang diperlukan.

WAN Azizah mendukung seorang kanak-kanak pada Seminar Keselamatan Kanak-Kanak dan Pelancaran Kempen Kesempatan Kanak-Kanak (Program 3K) 2018 hari ini. - Foto BERNAMA
Berita Harian X