Sabtu, 28 Julai 2018 | 8:59pm
AZMAN Adam berucap perasmian penutup karnival pengguna peringkat kebangsaan 2018 di Kolej Tingkatan Enam. - Foto Owee Chun
AZMAN Adam (lima kiri) menyampaikan hadiah Piala kepada pemenang keseluruhan tarian tradisional dari Kolej Tingkatan Enam Petaling Jaya disaksikan Pengetua Kolej Tingkatan Enam Petaling Jaya, Ghumiat Kamdi (lima kanan) ketika karnival pengguna peringkat kebangsaan 2018 di Kolej Tingkatan Enam. - Foto Owee Chun

Pelajar antara mangsa penipuan dalam talian

KUALA LUMPUR: Sebanyak 4,263 aduan penipuan jualan diterima Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor turut membabitkan mangsanya dalam kalangan pelajar.

Timbalan Pengarahnya, Azman Adam, berkata daripada jumlah itu, sebanyak 696 aduan berkaitan penipuan dalam talian yang sebahagian besarnya diterima daripada pelajar sekolah.

Katanya, menerusi kajian ringkas dilakukan KPDHEP, pelajar adalah pengguna yang cenderung membeli barangan dijual dalam talian pada harga rendah berbanding di pasaran.

"Faktor itu menjadikan pelajar mudah terpengaruh. Pihak kami berusaha membantu menyelesaikan masalah penipuan berkenaan dengan syarat syarikat berkenaan berada di negara ini.

"Jika membeli di laman portal tempatan berdaftar, pihak kami dapat membantu, namun jika barangan dibeli di laman sosial seperti Facebook, Instagram, WhatsApp dan sebagainya, kami tidak dapat memberi jaminan memandangkan penjual mungkin menggunakan akaun serta wajah profil palsu.

"Jadi, sebagai pengguna seharusnya bijak memilih dan membeli barangan diinginkan kerana memang hasrat KPDNHEP ingin melahirkan pengguna bijak," katanya selepas merasmikan penutup Karnival Pengguna Peringkat Kebangsaan 2018 di Kolej Tingkatan Enam Petaling Jaya, di sini, hari ini.

Lebih 20 sekolah menyertai karnival berkenaan. Yang turut hadir, Pengetua Kolej Tingkatan Enam Petaling Jaya,

Sementara itu, Ghumiat Kamdi berkata, pihaknya turut berhajat menjadikan program berkenaan sebagai acara tahunan dan penyertaan terbuka kepada semua sekolah di negara ini.

Katanya, kemahiran berniaga perlu diwujudkan antara kolej dan pihak luar kerana ia mampu melahirkan generasi berpengetahuan kepenggunaan serta mampu mengendalikan perniagaan.

"Sekurang-kurangnya ia dapat memberi impak positif dan pendedahan serta rakan baharu kepada pelajar ini," katanya.

Berita Harian X