Ahad, 29 Julai 2018 | 9:30am
PEMANGKU Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah (kanan), meninjau dan melawat Gua Padang Kawad yang terdapat dalam kawasan hutan Merapoh selepas hadir mendengar taklimat isu pembalakan hutan Merapoh dan Lawatan Kerja ke Kuala Lipis. - Foto Nazirul Roselan

Gua sekitar Merapoh jadi geopark

KUANTAN: Kerajaan Pahang akan memulakan langkah untuk menjadikan gua-gua di sekitar Merapoh, Lipis, sebagai geopark yang membolehkannya dilindungi dan menjadi kawasan tarikan pelancong.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Perladangan dan Bioteknologi, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin, berkata bagi tujuan itu kerajaan negeri menerusi Yayasan Pahang akan menjalinkan kerjasama dengan Universiti Sains Malaysia (USM) untuk menjalankan kajian.

Katanya, pihaknya mengalu-alukan kerjasama Yayasan Pahang dengan USM yang sudah menyatakan hasrat awal untuk melaksanakan kajian supaya gua-gua di Merapoh dijadikan geopark.

"Di Malaysia tempat paling banyak gua menarik dan pelbagai jenis adalah di Merapoh yang menarik ramai pelancong, apabila Lebuh Raya Central Spine Road (CSR) siap sepenuhnya kita sudah tentu memerlukan lebih banyak penginapan baik disediakan pelabur.

"Tempat itu menarik dan kita hendak jadikannya sebagai pusat rekreasi dan menarik pelancong atau pengunjung yang menghargai eko pelancongan," katanya kepada NSTP di sini, baru-baru ini.

Mengenai tempoh kajian berkenaan, Mohd Sharkar berkata, ia akan mengambil masa lama kerana ia meliputi pelbagai aspek termasuk untuk mencari serta mengenal pasti gua-gua baharu ada di Merapoh.

"Dahulu ada cadangan hendak buat kilang simen namun kita bantah dan ditolak, kita mahu ia dijadikan sebagai pusat pelancongan rekreasi kerana ia adalah pintu masuk dari arah barat," katanya.

Difahamkan lebih 500 gua ada di sekitar Merapoh namun sehingga hari ini hanya 100 ditemui yang antaranya dikenali Gua Tahi Bintang, Gua Seribu Cerita, Gua Air Mata Dayang, Gua Jinjang Pelamin dan Gua Hari Malaysia.

Lima tahun lalu satu gerakan kempen dilancarkan sukarelawan pencinta alam supaya gua di Merapoh yang terkenal dengan keunikannya diselamatkan berikutan ada permohonan daripada pihak industri untuk membangunkan kilang simen.

Februari lalu, Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang melawat Hutan Merapoh mahu kawasan hutan diluluskan untuk pembangunan kawasan pertanian diwartakan sebagai hutan simpan kekal.

Tengku Abdullah dilaporkan bertitah, langkah itu perlu memandangkan Hutan Merapoh yang menempatkan gua-gua berada dalam kawasan pelancongan yang mempunyai pelbagai khazanah alam semula jadi dan mampu menarik kunjungan pelancong.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X