Ahad, 29 Julai 2018 | 11:00am

Pendatang lebar empayar

KUALA LUMPUR: Selepas menguasai perniagaan di beberapa lokasi utama sekitar ibu negara, warga asing termasuk pendatang asing tanpa izin (PATI) semakin memperluaskan empayar mereka dengan mensasarkan pula kawasan pinggir kota.

Di pusat bandar raya, lokasi 'dikuasai' warga asing termasuk Jalan Silang, Jalan Imbi, sekitar Pasar Pudu, Jalan Pasar serta Masjid India, selain sekitar Chow Kit dan Kampung Baru terutama Jalan Raja Alang dan Jalan Raja Bot.

Warga asing majoritinya dari Indonesia dan Filipina terbabit pelbagai aktiviti di lokasi terbabit khususnya sebagai pembantu atau tukang masak di kedai makan, selain berniaga di pasar pagi dan malam serta perniagaan runcit.

Di Bukit Bintang juga ada kawasan dikenali 'Dhaka Lane' berikutan kebanyakan perniagaan di situ dikendalikan warga Bangladesh yang juga semakin membanjiri lokasi perniagaan di beberapa lokasi lain sekitar bandar raya.

Sebuah kompleks pemborong setinggi lapan tingkat di Jalan Kenanga, di sini turut dikuasai mereka, malah banyak premis perniagaan di sekitar lokasi itu disewa dan diusahakan secara bebas oleh warga Bangladesh.

Mereka menjalankan perniagaan tekstil dan pakaian yang menggunakan khidmat warga Indonesia sebagai pembantu kedai, dengan sebahagian besar produk dibawa terus dari Bangladesh.

Di beberapa kawasan lain, premis perniagaan dimonopoli pendatang Indonesia, India, Thailand, Myanmar, Vietnam dan Kemboja yang mengendalikan perniagaan secara terbuka, bahkan mampu menggaji pendatang lain.

Selain kedai makan dan restoran, jenis perniagaan diusahakan mereka termasuk kedai gunting rambut, bisnes dobi. Ada juga terbabit perniagaan berasaskan spa dan urut tradisional yang sering dikaitkan dengan aktiviti tidak bermoral termasuk pelacuran.

TUKANG jahit warga asing mendapat upah lumayan di Kuala Lumpur. - Foto Supian Ahmad
TUKANG jahit warga asing mendapat upah lumayan di Kuala Lumpur. - Foto Supian Ahmad

Kuasai pekan Sungai Besi

Warga Bangladesh juga semakin memperluaskan perniagaan dengan 'meneroka' pekan Sungai Besi dan Serdang di pinggir ibu kota, majoriti menawarkan khidmat menjahit yang mendapat sambutan hangat terutama menjelang perayaan seperti Aidilfitri.

Khidmat jahitan antara tumpuan warga asing khususnya dari Bangladesh, dengan tinjauan BH mengesan operasi mereka menjangkau di sekurang-kurangnya enam lokasi di tengah dan pinggir bandar raya termasuk Jalan Pudu, Cheras, Serdang, Ampang dan Pantai Dalam.

Tinjauan di pekan Sungai Besi sendiri mendapati lebih 20 kedai jahit dikendalikan pendatang dari negara terbabit beroperasi di sepanjang laluan utama pekan berkenaan khususnya di Jalan Suasa 4, selain sebahagian lagi di Jalan Suasa 3 dan 5.

Sama ada perniagaan itu diusahakan sendiri atau mereka bekerja dengan majikan warga tempatan tidak dapat dipastikan, begitu juga status sama ada bekerja secara sah atau tidak.

Berdasarkan pemerhatian, ada lesen perniagaan digantung di dalam premis untuk menunjukkan ia milik warga tempatan, namun kaedah sama juga digunakan di majoriti kedai yang dikendalikan warga asing di seluruh negara.

Tinjauan juga mendapati sekurang-kurangnya sebuah kedai runcit dikendalikan warga asing di pekan itu. Di Desa Tasek yang terletak kira-kira 500 meter dari pekan Sungai Besi, warga asing turut dikesan mengusahakan kedai runcit, selain perniagaan khidmat cuci kenderaan yang semuanya menggunakan tenaga kerja warga Bangladesh.

Penguasaan warga asing ini mencetus kebimbangan bukan saja mengenai kebergantungan negara terhadap tenaga kerja asing, malah turut mencetus pelbagai risiko termasuk dari segi sosial, jenayah dan persaingan ekonomi serta kerugian hasil cukai jika bisnes berstatus haram.

Bekerja secara haram

Seorang tukang jahit warga Bangladesh, Asha Husain, mengaku bekerja secara haram di Serdang, dekat sini, sejak kira-kira tiga tahun lalu berikutan kelulusan permit diberikan Jabatan Imigresen sebelum ini untuknya bekerja dalam sektor pembinaan.

"Saya dulu kerja buat bangunan, tapi 'tokey' sudah tipu. Saya kerja sebab mahu kumpul duit untuk pulang (ke Bangladesh) sebab kawan-kawan semua sudah pulang," katanya yang mengaku belajar menjahit dengan rakan warga tempatan sejak tiga tahun lalu.

TINJAUAN warga asing yang bekerja dan menjalankan perniagaan sekitar ibu negara. - Foto Supian Ahmad
TINJAUAN warga asing yang bekerja dan menjalankan perniagaan sekitar ibu negara. - Foto Supian Ahmad

TINJAUAN warga asing yang bekerja di sekitar ibu negara, Kampung Kerinchi dan Sungai Besi. - Foto Supian Ahmad
TINJAUAN warga asing yang bekerja di sekitar ibu negara, Kampung Kerinchi dan Sungai Besi. - Foto Supian Ahmad

Di Pantai Dalam, warga Bangladesh yang hanya ingin dikenali Farouk mengaku turut memiliki kedai jahit sendiri di kampung halaman, namun mengambil keputusan berhijrah ke Malaysia pada 2013 untuk mencuba nasib.

"Saya dimaklumkan tenaga tukang jahit amat diperlukan di Malaysia, jadi saya beranikan diri ke negara ini untuk bekerja. Di sini gaji cecah RM2,500 berbanding kira-kira RM800 di Bangladesh," katanya.

khidmat menjahit ditawarkan warga asing mendapat sambutan daripada penduduk tempatan kerana kadar upah yang murah. Tempoh singkat diperlukan untuk menyiapkan tempahan iaitu antara dua hingga tiga hari bagi sepasang baju Melayu atau baju kurung, berbanding minimum seminggu diperlukan tukang jahit tempatan.

Pelanggan, Fatin Syazwina Abd Syukor, mengakui sudah lebih tiga kali menghantar tempahan ke kedai jahit dikendalikan warga asing di Sungai Besi untuk tempahan baju Melayu moden dan dia berpuas hati kerana upahnya murah iaitu antara RM60 ke RM80 sahaja.

Selain baju Melayu dan baju kurung, kedai jahit diusahakan warga asing turut menyediakan khidmat jahitan dan ubah suai pakaian seragam seperti polis, bomba, tentera serta kot dan jaket.

Tinjauan BH di rata-rata kedai jahit dikendalikan warga asing mengesan pengabaian aspek keselamatan apabila peralatan dan pendawaian elektrik di premis dalam keadaan tidak terurus, sekali gus dikhuatiri berisiko mendatangkan bahaya termasuk kebakaran.

Antaranya, satu soket yang sepatutnya dikhususkan untuk satu peralatan elektrik digunakan untuk mesin jahit, kipas angin dan seterika, manakala pendawaian tidak menepati ciri-ciri keselamatan seperti wayar berjuntai yang boleh mengundang litar pintas.

TINJAUAN warga asing yang bekerja di sekitar ibu negara, Kampung Kerinchi dan Sungai Besi. - Foto Supian Ahmad
TINJAUAN warga asing yang bekerja di sekitar ibu negara, Kampung Kerinchi dan Sungai Besi. - Foto Supian Ahmad
Berita Harian X