Ahad, 29 Julai 2018 | 2:51pm
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, (tiga dari kanan) merasmikan Pusat Perkhidmatan Rakyat Batu Sapi di Sandakan, hari ini. - Foto Poliana Ronnie Sidom

Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak kekal

SANDAKAN: Kerajaan menyangkal dakwaan kononnya akan memberhentikan perluasan Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, berkata belum ada perbahasan atau soalan mengenai perkara itu dilakukan di Dewan Rakyat setakat ini.

"Saya dimaklumkan ada pemimpin Barisan Nasional (BN) iaitu Datuk Azalina (Datuk Seri Azalina Othman) membangkitkan perkara itu tetapi saya tiada menyebut mahkamah itu akan dimansuhkan di Parlimen.

"Saya belum berbahas, belum menggulung bagi pihak kerajaan dan tidak ingat ada menjawab soalan sedemikian di Parlimen," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Kesyukuran dan Perasmian Pusat Perkhidmatan Rakyat Batu Sapi di sini, hari ini.

Sebelum ini, Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang, meminta kerajaan mengesahkan dakwaan perluasan Mahkamah Jenayah Seksual Kanak-Kanak di negara ini akan dihentikan.

Sementara itu dalam ucapannya, Vui Keong yang juga Ahli Parlimen Batu Sapi, berkata pilihan raya kecil mungkin diadakan jika Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga, Tan Sri Musa Aman, dan anaknya, Yamani Hafez Musa yang juga Ahli Parlimen Sipitang, tidak mengangkat sumpah dalam tempoh tiga bulan.

Katanya, kedua-duanya berdepan kemungkinan hilang kelayakan menjadi ADUN dan Ahli Parlimen di kawasan dimenangi sekiranya tidak mengangkat sumpah dalam tempoh tiga bulan dari 11 Jun iaitu Majlis Angkat Sumpah Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dan 16 Julai iaitu Majlis Angkat Sumpah di Dewan Rakyat.

"Kita serahkan kepada mereka untuk membuat keputusan sama ada mahu pulang (ke tanah air) atau tidak.

"Jika tidak mahu pulang ke Sabah, itulah akibatnya (kerusi dikosongkan)," katanya.

Sebelum ini, Musa dilaporkan berada di United Kingdom untuk rawatan perubatan manakala Yamani dikatakan turut berada di sana.

Berita Harian X