Selasa, 31 Julai 2018 | 12:26pm
SULTAN Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah memeriksa kawalan kehormat Rejimen Askar Melayu Diraja Batalion ke-6 Pada Sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri Kedah di Tugu Peringatan, Jalan Tunku Bendahara. - Foto Sharul Hafiz Zam
SULTAN Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bersama Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff menerima tabik hormat daripada Rejimen Askar Melayu Diraja Batalion ke-6 Pada Sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri Kedah di Tugu Peringatan, Jalan Tunku Bendahara. - Foto Sharul Hafiz Zam

Sultan Kedah berangkat ke sambutan Hari Pahlawan

ALOR SETAR: Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan menyempurnakan istiadat meletak kalungan bunga di Tugu Peringatan negeri sempena Hari Pahlawan 2018 peringkat Kedah, hari ini.

Keberangkatan baginda diiringi Sultanah Kedah, Tengku Maliha Tengku Ariff pada jam 10 pagi itu, dimulakan dengan lagu negeri Kedah.

Baginda kemudian disambut dengan istiadat perbarisan kehormat Batalion Ke-6, Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) terdiri dari 106 pegawai dan anggota diketuai Mejar Syuhaimi Hashim.

Perbarisan terbabit diiringi pancaragam pengiring, Pancaragam Kolej Tentera Udara (TUDM) Kepala Batas dipimpin Pegawai Waran Udara Muzik Mohd Irwan Asram.

Ia diikuti tiupan 'last post' untuk memperingati pahlawan negara yang pernah mempertahankan negara dan disertai deklamasi sajak bertajuk 'Pahlawan' oleh Deputi Superintendan Azizi Ahmad.

Tuanku Sallehuddin kemudian memulakan acara mengalungkan bunga di hadapan Tugu Peringatan dan kemudian diikuti Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Turut berbuat demikian, Panglima Markas Briged Ke-6 Infantri, Brig Jen Datuk Abdul Aziz Ismail; Ketua Polis Kedah, Datuk Zainal Abidin Kassim; Panglima Wilayah Laut 3, Laksamana Pertama Rusli Ahmad dan Komandan Kolej Tentera Udara Alor Setar, Brig Jen Datuk Johnny Loh Kok Kong.

Yang Dipertua Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia Kedah, Kapten (B) Datuk Yusoff Yaacob dan Timbalan Pengerusi Persatuan Bekas Polis Malaysia Kedah, Ismail Deraksa turut mengalungkan bunga.

Sebelum berangkat pulang, Sultan Sallehuddin dan Tengku Maliha sekali lagi menerima tabik hormat dan memeriksa kawalan kehormat.

Hari Pahlawan disambut 31 Julai setiap tahun sebagai mengenang dan menghargai jasa wira negara yang terkorban serta cedera ketika mempertahankan kedaulatan agama, bangsa dan negara.

Berita Harian X