Selasa, 31 Julai 2018 | 9:41pm

Jangan sabotaj - Guan Eng

KUALA LUMPUR: Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, mahu semua pihak menghormati mandat diberi rakyat kepada kerajaan untuk melaksanakan pelbagai dasar baharu, termasuk Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada 1 September ini.

"Sekiranya SST tidak boleh dilaksanakan pada 1 September ini, kita akan menghadapi masalah kewangan dari segi fiskal dan mungkin tidak mempunyai lebihan.

"Kita perlukan kedudukan ekonomi yang kukuh bagi memberi keyakinan kepada rakyat dan pelabur," katanya pada sidang media di Lobi Parlimen, hari ini.

Walaupun tidak berpuas hati dengan tender dan hutang syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Guan Eng berkata, kerajaan akan tetap membayar hutang berkenaan selaku jaminan Kerajaan Persekutuan.

"Kita tidak boleh 'default' (lalai) kerana reputasi dan kredibiliti di peringkat antarabangsa akan hancur jika itu berlaku.

"Kerajaan mahu akaun atau baki semasa mencapai lebihan dan ini hanya boleh berlaku sekiranya SST dilaksanakan pada 1 September ini.

"Pembangkang tahu mengenai perkara ini dan mereka juga tahu ia harus dilaksanakan.

"Mereka tahu Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) perlu dimansuhkan dengan teratur digantikan dengan SST yang akan kutip kurang dari separuh berbanding GST," katanya.

Terdahulu, Sidang Dewan Rakyat menjadi medan pertikaman lidah antara Guan Eng dengan pembangkang yang mempersoalkan bagaimana kerajaan menjelaskan hutang negara mencecah RM1 trilion.

Guan Eng 'diasak' bertubi-tubi oleh pembangkang termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid (BN-UMNO Bagan Datuk), Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (BN-MCA Ayer Hitam), Khairy Jamaluddin (BN-UMNO Rembau), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (BN-UMNO Kepala Batas) dan Datuk Seri Hamzah Zainuddin (BN-UMNO Larut).

Ia bermula dengan tenang apabila Ahmad Zahid bertanya sama ada Guan Eng memberi gambaran rakyat terpaksa menanggung hutan negara.

Guan Eng berkata, kerajaan tidak mahu menggunakan kaedah menepis takrifan ditetapkan untuk menanggung lebih banyak hutang.

Keadaan mulai tegang apabila Ka Siong mengatakan jawapan Menteri Kewangan itu adalah data Bank Negara yang diketahuinya, lalu mengasak dengan beberapa pertanyaan lain.

Ia kemudian dibalas Guan Eng yang bertanya sama ada Ka Siong mengetahui ketika pemerintahan Barisan Nasional (BN), kerajaan membayar RM7 bilion hutang bagi pihak 1MDB.

"Adakah anda tahu RM7 bilion dibayar oleh kerajaan terdahulu bagi pihak 1MDB. Anda tahu ke tidak? Anda tahu ke tidak," soalnya bertalu-talu ketika menggulung perbahasan titah diraja.

Ka Siong bangun dan menegaskan hanya akan menjawab desakan Guan Eng berdasarkan apa yang benar.

"Anda (Guan Eng) tak adil, saya tahu apa yang benar saja, apa yang tak benar saya tak tahu," katanya.

Guan Eng kemudian meminta Ka Siong duduk sambil memuji Ahmad Zahid yang mengaku tahu kerajaan terdahulu membayar RM7 bilion kepada 1MDB.

"Kalau tak boleh jawab sila duduk, jadilah gentleman (budiman) macam Bagan Datuk, beliau tahu," katanya sambil beberapa kali mengulangi ungkapan 'anda tahu ke tidak' setiap kali Ka Siong bangun selepas itu.

MENTERI Kewangan, Lim Guan Eng menjawab soalan wartawan ketika hadir di Persidangan Dewan Rakyat Parlimen ke 14 di Bangunan Parlimen. - Foto Zunnur Al Shafiq
Berita Harian X