Selasa, 31 Julai 2018 | 11:55pm
YANG di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V (tengah) bersalaman dengan bakal jemaah haji pada Majlis Mengucapkan Selamat Jalan Kepada bakal Jemaah Haji Malaysia ke Tanah Suci Musim Haji 1439H di Kompleks Tabung Haji Sepang malam ini.Seramai 450 bakal jemaah haji akan berlepas dengan menaiki penerbangan ke-40 (MH8142) pada pukul 1.35 pagi ini.
- - Foto BERNAMA

Agong ucap selamat jalan kepada jemaah haji

SEPANG: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, berkenan berangkat ke Kompleks Tabung Haji (TH) di sini, malam ini untuk mengucapkan selamat jalan kepada 483 jemaah haji Musim Haji 1439H/2018M yang akan berlepas ke Tanah Suci.

Baginda tiba di kompleks berkenaan pada jam 10 malam diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa.

Yang turut hadir, timbalannya, Fuziah Salleh; Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Mahmoud Hussen Qattan dan Pengerusi TH, Tan Sri Md Nor Md Yusof.

Pada majlis itu, Sultan Muhammad V berkenan bersalaman sambil mengucapkan selamat jalan kepada jemaah haji penerbangan ke-40 KT22 yang dijadual berangkat ke Tanah Suci menaiki pesawat Malaysia Airlines MH 8142 pada jam 1.35 pagi.

Bagi memberkati perjalanan jemaah haji, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri membacakan doa memohon keselamatan dan dipermudahkan segala urusan ibadat mereka.

Laungan azan oleh Penolong Pengurus Hal Ehwal Islam TH, Ustaz Syafik Syawal, turut berkumandang sebagai simbolik memuji kebesaran Allah.

Terdahulu, Mujahid dalam ucapannya berkata, jemaah haji perlu menjaga kesihatan dan sentiasa mengikut nasihat serta amalan pemakanan disarankan oleh TH selain Kementerian Kesihatan.

Menurut beliau, sekiranya jemaah haji dapat menjaga kesihatan dengan baik, lebih mudah untuk mengerjakan ibadat haji.

Beliau turut menasihatkan jemaah supaya melaporkan terus kepada TH sekiranya mereka tidak berpuas hati dengan perkhidmatan TH di Tanah Suci dan tidak menjadikannya viral di media sosial kerana perkara itu boleh merosakkan nama kedua-dua negara.

Seramai 30,200 jemaah haji Malaysia akan menunaikan ibadat haji pada tahun ini dan setakat ini, lebih 17,000 jemaah sudah berlepas dengan kumpulan pertama berlepas pada 14 Julai lalu, manakala penerbangan terakhir pada 15 Ogos ini.

Sebanyak 81 penerbangan sewa khas digunakan bagi operasi haji tahun ini, menggunakan 40 pesawat Malaysia Airlines dan 41 pesawat Flynas, manakala penerbangan pulang dijadualkan pada 29 Ogos hingga 25 September.

Berita Harian X