Khamis, 2 Ogos 2018 | 6:21pm
PENGERUSI Yayasan Kajian dan Pembangunan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (YKDP), Datuk Dr Syed Ali Alattas. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Rombakan MARA jejas Bumiputera

KUALA LUMPUR: Ura-ura bahawa Majlis Amanah Rakyat (MARA) bakal dipecah ke beberapa kementerian mengikut konsep pengasingan dan penyerapan dikhuatiri memberi impak negatif, terutama membabitkan orang Melayu dan Bumiputera.

Pengerusi Yayasan Kajian dan Pembangunan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (YKDP), Datuk Dr Syed Ali Alattas, berkata MARA adalah organisasi yang berjaya, tidak mempunyai hutang, malah turut menjadi model kepada negara membangun.

Justeru, pencapaian itu jelas membuktikan tidak perlu rombakan atau perubahan dilakukan kerana ia boleh diibaratkan seperti memotong 'kaki dan tangan' organisasi berkenaan.

Katanya, sepatutnya kerajaan memberi peruntukan lebih untuk meningkatkan lagi keupayaan MARA yang mana ia memberi hasil positif kepada pembangunan negara.

"Sepatutnya, MARA diletakkan semula di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan serta agensi lain yang ada kaitan dengan Bumiputera dan orang Melayu.

"Jika lebih serius untuk meneruskan agenda pembangunan Bumiputera, kita mahu MARA diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri," katanya dalam satu sidang media, dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Pengerusi YKPD, Datuk Seri Syed Hussein Al-Habshee.

Sebelum ini, desas desus menyatakan bahawa kerajaan berhasrat untuk merombak MARA dan diletakkan di bawah beberapa kementerian seperti Kementerian Luar Bandar, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Kementerian Pelajaran.

Katanya, biarpun hanya desas desus, pihaknya menentang sekerasnya usaha untuk pengasingan berkenaan.

"Memang kita belum menerima kenyataan rasmi namun kita tidak boleh berdiam diri dan menunggu sehingga khabar angin ini menjadi kenyataan.

"MARA tidak sepatutnya menjadi mangsa politik sebaliknya diberi kuasa untuk terus memainkan peranan dalam membantu masyarakat," katanya.

Berita Harian X