Khamis, 2 Ogos 2018 | 6:51pm
Sebilangan pelancong dari China yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa 2 (KLIA2). - Gambar hiasan

Pelancong China dibantu di KLIA, KLIA2

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya mewujudkan kaunter khas Helpdesk atau bantuan bagi kemudahan pelancong dari China yang tiba di lapangan terbang di Sepang.

Menterinya, Mohamaddin Ketapi, berkata kaunter berkenaan dibuka sejak September tahun lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa 2 (KLIA 2).

"Inisiatif itu bertujuan menyelesaikan masalah komunikasi antara pegawai Imigresen Malaysia dan pelancong dari China.

"Sehingga Jun lalu, seramai 24,669 pelancong dari China mengunjungi negara ini dan meminta bantuan sukarelawan Cina di Helpdesk Malaysia-China Welfare Advisory Society (MCWAS).

"Ia dilakukan dengan kerjasama dan sokongan Kedutaan China di negara ini," katanya menjawab soalan Datuk Dr Jeffrey Kitingan (STAR-Keningau) mengenai siapa yang memastikan pelancong luar negara seperti China dan Korea yang tidak faham bahasa Inggeris dan bahasa Melayu dirujuk ke tempat sewajarnya sebaik tiba.

Ia berbangkit susulan kes dua pelancong Taiwan terlepas keluar tanpa melalui pemeriksaan Imigresen dan ditangkap serta dihantar ke Rumah Merah.

Berita Harian X