Sabtu, 4 Ogos 2018 | 10:30am
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad beramah mesra dengan orang ramai ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LIA), semalam. - Foto Azhar Ramli

Tun M tinjau Langkawi

LANGKAWI: Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini memulakan lawatan kerja sehari ke sini, bagi meninjau projek pembangunan yang giat dilakukan di pulau bebas cukai berkenaan.

Perdana Menteri dijadual memulakan lawatan dengan merasmikan Langkawi Nature Park yang terletak di Kampung Belanga Pechah, di sini.

Taman terbabit adalah pusat eco pelancongan terbesar di Langkawi yang menempatkan lebih 80 spesies haiwan di kawasan hutan paya bakau semula jadi yang mempunyai laluan pejalan kaki sepanjang 800 kaki.

Selain itu, pengunjung juga boleh menggunakan perkhidmatan bot khas untuk melihat keindahan hutan ketika menyusuri Sungai Langkawi hingga ke Kilim Geoforest Park.

Perdana Menteri pada sebelah petang pula dijadual, merasmikan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Langkawi di Langkawi City, Kuah.

Pusat Khidmat terbabit membolehkan penduduk setempat mendapatkan sebarang bentuk perkhidmatan kemasyarakatan termasuk bantuan membabitkan agensi kebajikan atau seumpamanya.

Lewat petang, Dr Mahathir akan melawat Hospital Langkawi yang dikategorikan sebagai hospital moden yang mempunyai perkhidmatan pakar bagi menangani kes kecemasan selain turut memiliki pengangkutan udara ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar bagi kes kritikal.

Berita Harian X